Saksi akui ambil ubat penenang kerana tertekan - Utusan Malaysia

Saksi akui ambil ubat penenang kerana tertekan

LIM Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan atas pertuduhan rasuah terowong dasar laut di Pulau Pinang. - UTUSAN/ FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hidup beliau tertekan sehingga terpaksa mengambil ubat penenang kerana disiasat berhubung kes rasuah terhadap Lim Guan Eng berkaitan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli memberitahu, beliau telah ditahan reman selama 11 hari bagi membantu siasatan kes itu sehingga menyebabkan segala usaha menjayakan projek mega itu hampir musnah.

Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) itu berkata, beliau gagal memperoleh pinjaman daripada bank dan tidak mendapat keyakinan daripada rakan-rakan perniagaan untuk membantunya.

Saksi pendakwaan ke-23 itu menyatakan, beliau tidak mempunyai apa-apa motif jahat, mereka-reka cerita atau membuat pernyataan palsu terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Zarul Ahmad memberitahu, beliau sebaliknya terhutang budi terhadap Guan Eng kerana menganugerahkan projek mega itu kepada syarikatnya sehingga meningkatkan martabatnya sebagai ahli perniagaan Bumiputera berjaya.

Kontraktor itu ketika membacakan pernyataan saksi mengakui beliau mengetahui perbuatan menjanjikan jumlah peratusan daripada keuntungan sesuatu projek adalah satu kesalahan.

“Saya yakin sesiapa yang senasib saya akan merasa terhutang budi dan ingin membalas budi orang yang membantunya,” ujarnya.

Menurut Zarul Ahmad, artikel bertarikh 2 Julai 2018 yang disiarkan oleh Free Malaysia Today (FMT) diberikannya untuk menyelamatkan projek itu dan tidak mahu mengeruhkan keadaan dengan kerajaan negeri.

Beliau menjelaskan, artikel itu dibuat susulan penangkapan dan tahanan reman oleh pihak SPRM manakala artikel bertarikh 4 Mac 2019 yang disiarkan oleh Malaysia Kini adalah rekaan penulisnya semata-mata.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Guan Eng didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya