BAGAN DATUK: ‘Bayaran wang royalti macam tak nampak’.
Demikian komen penyanyi veteran, Datuk M. Daud Kilau mengenai bayaran wang royalti terhadap lagu-lagu dan karyanya selama berpuluh tahun dalam bidang nyanyian.
Menurutnya, bayaran royalti yang diterima seperti tidak dirasainya kerana terlalu sedikit sehingga beliau tak mahu memikirkan perkara itu lagi.
“Bayaran wang royalti kadang-kadang tak nampak, nak dikatakan setahun sekali pun tak ada. Dahulu ada saya dapat RM300, RM400 tapi selepas itu tiada lagi. Bila kali terakhir saya dapat bayaran royalti pun saya sudah lupa, sebab sudah terlalu lama.
“Yang saya dapat hanya surat (daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik) sebanyak 30, 40 helai, sepatutnya berilah wang royalti terhadap karya dan nyanyian saya. Keadaan ini menyebabkan saya tak peduli mengenai royalti, saya anggap ia bukan rezeki saya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika diziarahi Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin di rumahnya di Sungai Balai Baroh di sini hari ini.
Mengenai kesihatan, penyanyi berusia 83 tahun itu berkata, kesihatannya semakin merosot sejak beberapa tahun lalu selepas dikesan menghidap kencing manis, sakit pinggang dan jantung tidak stabil.
Katanya, beliau kini tidak lagi membuat persembahan nyanyian sebaliknya lebih banyak menghabiskan masa di rumah.
“Sejak 2016 lagi kesihatan saya sudah merosot sehingga sekarang. Kini saya hanya menghabiskan masa di rumah, lebih banyak berbaring kalau nak berjalan pun kena bertongkat. Sekarang saya menjalani pemeriksaan secara berterusan di hospital dan klinik,” katanya.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu-lagu seperti ‘Cek Mek Molek‘ dan ‘Gila Judi‘ itu itu mengakui rindukan peminat yang sudah lama tidak ditemuinya.
Katanya, namun dia tidak mampu lagi untuk membuat persembahan pentas selepas kali terakhir pada Januari 2016 di Hutan Melintang namun tidak sempat menyanyi kerana masalah kesihatan yang menyebabkan beliau dikejarkan ke hospital.
“Nak kata saya tinggalkan pentas tidaklah, nyanyian rezeki saya, Allah lahirkan saya sebagai penghibur.
“Saya memang rindu peminat, memang saya ingin menyanyi namun saya serahkan kepada Allah untuk tentukan saya menyanyi semula atau tidak, cuma kalau nak menyanyi balik tu jauhlah rasanya. Kepada peminat, doakan saya panjang umur dan murah rezeki,” katanya. – UTUSAN










