Rogol remaja OKU: Bapa tiri, lelaki warga asing ditahan - Utusan Malaysia

Rogol remaja OKU: Bapa tiri, lelaki warga asing ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JULAU: Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan atas dakwaan mencabul dan merogol seorang gadis bawah umur yang juga orang kurang upaya (OKU) di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintenden Andam Suli berkata, satu laporan polis dibuat oleh ibu mangsa kelmarin mendakwa dua lelaki mencabul dan merogol anak perempuannya berusia 14 tahun tersebut. 

“Ibu mangsa memberitahu salah seorang suspek merupakan bapa tiri mangsa dan seorang lagi merupakan lelaki warganegara asing. 

“Sehubungan itu, bertindak berdasarkan laporan berkenaan, pihak polis menahan kedua-dua suspek yang berusia 50-an pada hari yang sama laporan dibuat oleh ibu mangsa,” katanya di sini hari ini.

Tegasnya, Mahkamah Majistret Sarikei membenarkan permohonan reman tujuh hari ke atas kedua-dua suspek dan kini ditahan di lokap polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 dan 376b Kanun Keseksaan.

Jelasnya, kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun.

Bagi seksyen 376B, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam tahun tetapi tidak lebih 20 tahun, dan juga boleh dikenakan hukuman sebat.

Andam berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang melakukan sebarang kesalahan terhadap kanak kanak.

Justeru, beliau berharap masyarakat akan bersama-sama bertanggungjawab dalam menangani jenayah rogol dan keganasan seksual secara berkesan di daerah berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN