PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di Bentong, Bera dan beberapa kawasan lain, sehingga pukul 5 petang.
Menurut MetMalaysia, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang juga dijangka berlaku di kebanyakan tempat di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dalam tempoh yang sama.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di Pahang (Bentong dan Bera); Negeri Sembilan (Jelebu, Jempol dan Tampin); Melaka dan Johor (Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru) sehingga pukul 5 petang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah MetMalaysia, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” jelasnya. – UTUSAN










