MELAKA: Tempoh reman pemandu Perodua Myvi yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) terbunuh, disambung tiga hari lagi.
Perintah reman sehingga 13 Jun itu dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Ahmad Shakib Ismail bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Terdahulu, suspek berusia 24 tahun itu direman selama empat hari bermula 7 Jun lalu dan berakhir hari ini.
Suspek yang merupakan pekerja kilang ditahan pada 6 Jun lalu di Hospital Jasin selepas dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan sepasang suami isteri OKU terbunuh dalam nahas di Jalan Serkam Pantai, Merlimau di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Ezuddin Mohammad, 50, dan isterinya, Surayah Muhamat, 48, yang menunggang Yamaha Ego Solaris meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.
Ketika kejadian pasangan itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Melaka ke Merlimau sebelum tiba-tiba kereta dipandu suspek dari arah Merlimau terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa.
Pasangan suami isteri itu dilaporkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan. – UTUSAN











