Remaja telefon JKM sebelum buang bayi - Utusan Malaysia

Remaja telefon JKM sebelum buang bayi

SEORANG bayi perempuan ditinggalkan di sebuah gerai berhadapan sebuah universiti di Arau, Perlis hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seorang remaja perempuan sempat membuat panggilan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas meninggalkan bayi perempuan yang baru dilahirkan di sebuah gerai di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8.20 pagi itu, pihak JKM menerima panggilan dari remaja berusia 19 tahun itu yang memaklumkan meninggalkan bayi di sebuah gerai berhadapan pintu masuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wari Kiew berkata, pihak polis turut menerima panggilan telefon dari orang awam mengenai penemuan bayi tersebut pada pukul 9.10 pagi.

“Remaja tersebut meninggalkan nombor telefonnya selepas dipujuk pihak JKM sebelum agensi itu tiba di lokasi 20 minit kemudian.

“Pihak JKM menemukan seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat disyaki baru dilahirkan dan diletakkan di dalam plastik hitam di sebuah gerai berhampiran UiTM,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, pasukan perubatan tiba di tempat kejadian pada pukul 9.50 pagi dan membawa bayi tersebut ke Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Fauziah (HTF) bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Pegawai perubatan HTF memaklumkan bayi tersebut berada dalam keadaan sihat dan stabil.

“Polis juga berjaya mengesan suspek, seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi berusia 19 tahun yang disyaki membuang bayi tersebut,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN