Remaja buta tawar khidmat urutan kaki di rumah - Utusan Malaysia

Remaja buta tawar khidmat urutan kaki di rumah

MUHAMMAD Zulfadli Rosmadi mengurut kaki pelanggan di rumahnya di Kampung Bakau Tinggi di Kemaman, hari ini. - NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang remaja cacat penglihatan di Kampung Bakau Tinggi di sini mampu meraih sehingga RM80 sehari hasil pendapatan sebagai tukang urut kaki sejak sebulan lalu.

Muhammad Zulfadli Rosmadi, 20, berkata, kekurangan diri bukan alasan untuknya tidak bekerja demi membantu menyara keluarga termasuk ibu yang menderita angin ahmar di samping tiga adik yang masih kecil.

Katanya, kekangan pergerakan menyebabkan perkhidmatan mengurut itu beroperasi di rumahnya dengan kadar bayaran sebanyak RM20 untuk 30 minit manakala RM35 (sejam).

“Walaupun pendapatan tidak menentu antara RM20 hingga RM80 sehari bergantung kepada jumlah pelanggan, tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban ayah sebagai penjaga stor.

“Ibu cacat penglihatan seperti saya dan penyakit dialami sejak enam tahun lalu menyebabkan dia tidak dapat berjalan dengan sempurna dan melakukan tugasan berat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Muhammad Zulfadli berkata, idea untuk menjadi tukang urut itu bagi memanfaatkan kemahiran yang dipelajari ketika menuntut di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura, Kulai di Johor.

Katanya, dia mahu terus serius dalam kerjaya itu hingga mampu membuka pusat urut sekali gus menyediakan peluang pekerjaan buat golongan OKU sepertinya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN