Rahman Shaari diumum penerima Anugerah Sastera Negara Ke-15

Rahman Shaari diumum penerima Anugerah Sastera Negara Ke-15

RAHMAN SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Presiden Persatuan Penyair Malaysia, Datuk Rahman Shaari, 73, diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-15.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pemilihan tokoh dibuat berdasarkan sumbangan beliau melalui karya dan pemikiran, pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu, kepimpinan dalam persatuan sastera, impak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta penghargaan dan pengiktirafan yang telah diterima.

Menurut beliau, seramai sembilan panel pemilihan mengadakan mesyuarat penilaian untuk meneliti sumbangan serta kekuatan calon.

“Terdapat 12 calon kesemuanya dihantar oleh persatuan, institusi dan individu berwibawa, jadi daripada 12 calon ia disenarai pendek kepada tiga calon dan (akhirnya) Rahman dipilih. 

“(Pemilihan) ini adalah kepakaran ahli panel berdasarkan mesyuarat yang dibuat sejak September tahun lalu,” katanya pada pengumuman Anugerah Sastera Negara Ke-15 di Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kekuatan Rahman adalah dalam genre puisi di mana puisi-puisinya sarat dengan pemikiran serta memerlukan penafsiran yang mendalam. 

Katanya, Rahman turut menekuni semua genre sastera termasuklah puisi, drama, cerpen, novel, kritikan sastera, mempelopori Teori Anjakan Makna serta memperkenalkan teknik persembahan puisi artistik.

“Susulan penganugerahan itu, Rahman akan menerima penghargaan daripada kerajaan berupa Warkah Penghormatan Negara; wang tunai RM60,000; penerbitan 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500,000 untuk dibeli kerajaan dan disebar luas ke sekolah, perpustakaan, jabatan serta agensi kerajaan.

“Penerima juga mendapat kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di hospital kerajaan; kemudahan untuk kegiatan mencipta karya sastera; kemudahan untuk penerbitan karya; penterjemahan karya sesuai ke dalam bahasa asing dan elaun sara hidup RM5,000 sebulan,” ujarnya.

Rahman yang dilahirkan pada 5 September 1949 di Kampung Gial, Mata Ayer, Perlis pernah menerima Hadiah Sastera Malaysia kategori puisi sebanyak tiga kali pada tahun 1976, 1982, 1986 dan memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada 2003 serta pernah menerima Anugerah Penyair Gapena pada 2013.

Selain itu, Rahman juga memenangi Hadiah Penulisan Esei Utusan Melayu dalam bidang pantun pada 2014 dan menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara atau S.E.A. Write Award daripada Kerajaan Thailand pada 2007.

Pada tahun 1977-1979 beliau merupakan guru di Perlis dan kemudian bertukar ke Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan sebagai Pegawai Kurikulum. Beliau juga pernah menyandang jawatan Profesor di Universiti Malaya pada 2003.

Radzi memaklumkan, majlis pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-15 tersebut akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong pada satu tarikh dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan terdapat campur tangan dalam pemilihan tokoh sebelum ini, Radzi berkata, beliau menghormati kesemua ahli panel dalam memilih dan mengkaji pelbagai bentuk hasil karya yang dikeluarkan calon-calon yang disenarai pendek.

“Itu menteri dahulu, menteri sekarang tidak ada sebarang campur tangan. Tidak timbul sebarang isu campur tangan, semua panel gembira dengan keputusan yang dibuat dan saya secara peribadi setuju dengan keputusan yang dibuat oleh panel,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya