Qari Perak, qariah Selangor ungguli MTHQK 1443H - Utusan Malaysia

Qari Perak, qariah Selangor ungguli MTHQK 1443H

AIMAN Ridhwan Mohamad Ramlan dan Sofizah Mousin muncul johan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2022 di Pusat Islam Iskandar Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Qari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah Selangor, Sofizah Mousin muncul johan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1443H/2022M yang berlangsung di Pusat Islam Iskandar, di sini malam tadi.

Aiman Ridhwan yang mengumpul 89.34 peratus markah dan Sofizah (85 peratus), masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000; piala iringan dan tambahan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan ibadat haji.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan mereka mewakili Malaysia bagi menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur pada 17 hingga 22 Oktober ini.

Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Dalam pada itu, tempat kedua Tilawah al-Quran dimenangi qari Pulau Pinang, Muhammad Umar Syazuli Mohd. Tahir (89 peratus) dan qariah Melaka, Sarrul-Munirah Haris (84.33 peratus).

Mereka membawa pulang RM10,000 dan tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga dimenangi qari dari Melaka, Azraie Abdul Hak (86.67 peratus) dan qariah dari Perak, Nurul Syafiqah Nardi (82.34 peratus).

Mereka membawa pulang RM7,500, tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

Kategori hafazan menyaksikan wakil Kelantan, Abdullah Ulwan Ismail diumumkan johan kategori 1-30 juzuk berserta tafsir lelaki apabila memperoleh 97.25 peratus markah, manakala wanita pula dimenangi wakil Johor, Nurjahidah Hadirah Alliar@Ilyas (94.51 peratus).

Masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000; tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji dan piala iringan.

Bagi kategori 1-20 juzuk lelaki dimenangi Ahmad Ikmal Mohd. Ridhuan dari Johor (98.16 peratus), manakala kategori wanita dimenangi Nurul Husna Abdul Aziz dari Kedah dengan markah 96.96 peratus.

Bagi kategori 1-10 juzuk berserta tarannum lelaki dimenangi Muhammad Jibril Mohd. Hanafiah dari Pahang (98.30 peratus), manakala wanita dimenangi Fatimah Azzahra Mohd. Shahrol dari Johor dengan markah keseluruhan 97.05 peratus.

Johan keseluruhan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran dimenangi negeri Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya