PETALING JAYA: Kos sampingan seperti caj penyediaan tanah, caj pembangunan, premium tanah dan kos tambahan tinggi yang dikenakan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi antara faktor harga rumah termasuk yang mampu milik meningkat antara 20 ke 30 peratus.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, kos dikenakan pihak terlibat mempengaruhi kenaikan kos rumah dan menyebabkan pemaju menyerapkannya ke dalam harga pembeli.
Katanya, kerajaan negeri dan PBT harus memikirkan langkah penyelesaian terbaik membantu rakyat dengan mengurangkan beban dihadapi pemaju yang kini terbeban berikutan harga simen dan besi melonjak.
“Kerajaan dan PBT perlu melihat jangka panjang terhadap pengurangan kos sampingan kepada pemaju. Jika lebih banyak rumah dibina, maka lebih banyak kawasan perumahan dibuka yang dapat meningkatkan pembangunan bandar. Tetapi jangan sampai beri tanah yang jauh dari bandar dan tiada kemudahan pengangkutan awam, akhirnya yang terkesan adalah pembeli.
“Ada pandangan meminta kerajaan beri subsidi kos bahan binaan kepada pemaju bagi mengurangkan harga rumah. Namun langkah ini tidak menyelesaikan masalah kerana kerajaan kini dibebani pelbagai subsidi.
“Namun, cara terbaik berbanding salur subsidi adalah memberi pemaju pengurangan kos sampingan seperti penyediaan tanah, caj pembangunan, premium tanah dan kos tambahan lain. Kadang-kala kadar dikenakan terlalu tinggi dan tidak munasabah sehingga menyebabkan pemaju mengenakannya dalam harga rumah,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan harga rumah dijangka terus meningkat sehingga 10 peratus setahun, sekali gus kemungkinan tiada lagi rumah berharga RM200,000 dan ke bawah menjelang 2025.
Perkara itu didedahkan Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail yang memberitahu, peningkatan tersebut akan terus berlaku mengikut rentak pemulihan ekonomi selain pertambahan peluang pekerjaan yang mendorong kepada permintaan.
Dalam pada itu, Abdul Rahman memaklumkan, kemudahan tidak munasabah yang disediakan pemaju seperti gimnasium, kolam renang dan pusat rekreasi merupakan faktor pertambahan kos rumah sedangkan perkara itu bukan keperluan pembeli.
Justeru kata beliau, pemaju perlu melihat semula kewujudan kemudahan tersebut sama ada mendatangkan manfaat kepada pembeli.
Sementara itu, Abdul Rahman menambah, tidak dinafikan terdapat dasar kerajaan bahawa setiap pembangunan dan projek perumahan memperuntukkan kuota rumah mampu milik untuk golongan B40 bagi memastikan kumpulan tersebut mampu memiliki kediaman sendiri.
Sebaliknya kata beliau, terdapat pemaju mengambil kesempatan mengatakan kediaman itu tidak dapat dijual kerana kurang sambutan pembeli pendapatan rendah dan akhirnya mengambil kesempatan menjual kepada golongan kemampuan.
“Memang ada mekanisme iaitu pemaju boleh jual rumah harga mampu milik selepas tempoh enam bulan jika gagal terjual, namun ada dalam kalangan mereka mengatakan kediaman itu sudah habis sedangkannya tidak berlaku,” jelasnya.
Sehubungan itu- beliau mencadangkan kerajaan membantu menjual kediaman itu dengan mengiklankan kepada umum supaya pembeli mengetahui dengan lebih terbuka di samping menangani cubaan mengambil kesempatan dilakukan pemaju. – UTUSAN










