PETALING JAYA: Cadangan membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebaik sahaja Bajet 2023 pada Oktober ini hanya menguntungkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewakili UMNO dan BN, peruntukan bajet negara mestilah bersifat inklusif dan menyeluruh.
Katanya, mempergunakan bajet untuk memancing undi PRU15 adalah tindakan menyalahgunakan kuasa kerana menggunakan sumber negara untuk kepentingan politik dan peribadi.
“Sepatutnya bajet negara disediakan untuk kepentingan semua rakyat dan merangka rancangan masa depan, bukannya untuk kepentingan UMNO atau kroni-kroninya untuk membeli undi.
“Tarikh PRU15 terpulang kepada Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong, tetapi jangan sesekali guna bajet dan peralatkannya supaya UMNO menang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menjangkakan masa terbaik untuk PRU15 adalah sebaik Bajet 2023 dibentangkan.
Katanya, pembentangan Bajet perlu ada faktor wow memandangkan bajet berkenaan merupakan buah tangan Ismail Sabri yang datang daripada BN.
Bagaimanapun, Guan Eng menyifatkan tahun hadapan adalah tahun paling sesuai untuk mengadakan PRU15.
“Lebih baik buat tahun depan, terutama selepas kita dapat selesaikan masalah kebajikan rakyat.
“Menteri pun ada cakap kita selesaikan kos sara hidup dulu, Khairy Jamaluddin pun saran PRU selepas Covid-19 selesai. Buatlah apabila semua itu sudah selesai.
“Ini menteri cakap lain, UMNO cakap lain. Tunggulah tahun depan. Kalau buat tahun ini juga kita tidak ada masalah, kita akan berusaha lawan menerusi khemah besar bersama kalangan parti pembangkang, bukan dengan pihak lain seperti Perikatan Nasional (PN),” kata Guan Eng.- UTUSAN











