Polis tumpaskan sindiket ‘payung’ lima kumpulan jenayah curi motosikal - Utusan Malaysia

Polis tumpaskan sindiket ‘payung’ lima kumpulan jenayah curi motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Polis menumpaskan satu sindiket curi motosikal yang dipercayai didalangi lima kumpulan penjenayah berbeza dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Lima kumpulan terbabit dikenali sebagai Geng Kupang; Geng Humairah; Geng Chot; Geng Pondok dan Geng Junjong.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, seramai 21 ahli kumpulan terbabit terdiri daripada 19 lelaki dan dua wanita turut ditahan bagi membantu siasatan.

SHAFEE  ABDUL SAMAD

Katanya, siasatan mendapati sebahagian tangkapan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah seperti kes curi motosikal, pecah rumah dan dadah.

“Polis juga berjaya merampas 12 buah motosikal, tiga casis dan sebuah enjin motosikal susulan tangkapan itu.

“Dengan tertumpasnya sindiket ini, polis percaya beberapa kes kecurian motosikal di sekitar Pulau Pinang yang dilaporkan sebelum ini berjaya diselesaikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang daripada satu tahun atau tidak lebih tujuh tahun serta boleh dikenakan denda.

Terdahulu kata Shafee, antara April hingga Mei lalu, sebanyak 37 buah motosikal dilaporkan hilang dalam daerah SPT.

Susulan itu tambahnya, satu pasukan khas ditubuhkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah di IPD SPT untuk menyiasat kes berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN