PM arah segera luluskan pekerja asing - Utusan Malaysia

PM arah segera luluskan pekerja asing

MUSTAPA Mohamed (dua dari kiri) hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ACCCIM Ke-76 di Banda Hilir, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri mengadakan sesi libat urus bagi menyegerakan proses kelulusan dan kemasukan pekerja asing bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja terutama dalam sektor perniagaan dan perindustrian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. yang hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Ke-76 di Banda Hilir di sini mewakili Perdana Menteri berkata, kerajaan memandang serius isu kekurangan tenaga kerja, khususnya bagi sektor perniagaan dan perindustrian.

Menurut beliau, kerajaan memandang serius masalah itu terutamanya ketika negara dalam proses pemulihan ekonomi.

“Terlalu banyak impak akibat kekurangan pekerja asing ke atas ekonomi seperti yang sering dibangkitkan oleh pihak industri. Setakat 10 Jun 2022, daripada kira-kira 266,000 kuota pekerja asing yang diluluskan, hanya 19,000 daripada 12 sumber negara yang memasuki Malaysia.

“Keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan bekalan pekerja yang mencukupi untuk menyokong pemulihan sektor perniagaan.

“Susulan ini, Menteri Sumber Manusia dan Menteri Dalam Negeri akan mengadakan sesi libat urus dengan kementerian dan agensi serta pihak yang berkenaan bagi mempercepat serta mempermudahkan proses kemasukan pekerja asing yang telah diluluskan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama.

Bagaimanapun, Mustapa berkata, pemain industri juga perlu memikirkan sesuatu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, memandangkan semua perusahaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seharusnya mengaplikasikan penggunaan teknologi dan automasi demi meningkatkan kemahiran tenaga kerja.

“Perusahaan, terutamanya PKS disaran untuk mengambil peluang pelbagai kemudahan kewangan dan dana serta geran yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan, untuk menyokong automasi dan pendigitalan ke arah mencapai Industri 4.0,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN