Petisyen ditolak, Mohamad Ali tidak kemuka rayuan - Utusan Malaysia

Petisyen ditolak, Mohamad Ali tidak kemuka rayuan

MOHAMAD ALI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Su­ngai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad tidak kecewa dengan keputusan Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen yang difailkannya.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak akan mengemukakan sebarang rayuan atas petisyen yang difailkan pada 14 Disember lalu.

“Saya terima keputusan yang dibuat oleh mahkamah dengan hati terbuka dan saya langsung tidak rasa kecewa, malah sudah menjangkakan keputusan ini tidak memihak kepada saya.

“Saya failkan petisyen bukan bertujuan untuk menang tetapi sebaliknya ingin memastikan perjalanan pilihan raya berjalan sempurna tanpa berlakunya sebarang unsur-unsur rasuah atau salah laku,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Rabu lalu, Mahkamah Pilihan Raya di sini menolak petisyen difailkan Mohamad Ali bagi mencabar keputusan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd. Aleef Yusof di DUN Sungai Udang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati segala tuduhan yang dilemparkan menerusi petisyen berkenaan adalah tidak berasas.

Dalam pada itu, Mohamad Ali menjelaskan, keputusan tidak mengemukakan rayuan diambil kerana mahu menumpukan perhatian menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam usaha merampas kembali Parlimen Tangga Batu.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Mohd. Aleef untuk meneruskan tugas-tugas sebagai wakil rakyat di DUN Sungai Udang,” jelasnya.

Ketika PRN Melaka 20 November lalu, Mohd. Aleef menang dengan majoriti 530 undi selepas mendapat 6,789 undi, menewaskan Mohamad Ali yang mendapat 6,259 undi dalam saingan empat penjuru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN