Perdana Menteri terima aib jika permohonan bubar Parlimen ditolak - Utusan Malaysia

Perdana Menteri terima aib jika permohonan bubar Parlimen ditolak

HASSAN KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Pemimpin politik khususnya yang tergolong dalam kluster mahkamah perlu bersabar dan bukan berterusan mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan segera.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, hal itu kerana kerajaan ketika ini mempunyai banyak perkara dan permasalahan rakyat yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Sehubungan itu katanya, tiada sebab untuk mana-mana pihak terburu-buru, tambahan tempoh penggal PRU14 adalah sehingga 8 Mei tahun depan.

“Jadi kepada anggota kluster mahkamah ataupun yang bukan kluster mahkamah, mana-mana pihak yang sudah teruja untuk kembali berada di tampuk kuasa dan takhta diminta untuk bersabar sedikit. Selesaikan dahulu kes mahkamah masing-masing, boleh juga jika mahu diadakan pemilihan parti politik masing-masing. Kawal inflasi supaya tidak masuk ke tahap hiper inflasi sehingga rakyat biasa boleh ‘mati’.

“Selepas keadaan sesuai dan sejahtera serta Covid-19 tidak lagi menjadi ancaman bahaya terhadap kesihatan awam, maka ketika itu, silalah adakan PRU15 sesegera mungkin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO antaranya Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyuarakan agar PRU15 tidak perlu diadakan segera kerana belum terdapat keperluan itu.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed pula hairan dengan sikap kepimpinan UMNO terbabit yang menolak PRU15 diadakan segera sedangkan parti berkenaan berkehendak demikian.

Dalam pada itu, Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, pihaknya menyokong pendirian Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberitahu beliau tidak boleh mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam soal menentukan tarikh PRU15.

“Jika Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati Seri Paduka bagi membubarkan Parlimen ke-14 seberapa segera dalam tahun ini kerana didesak kiri dan kanan, maka ada kemungkinan permohonan itu ditolak. Aiblah bagi seorang Perdana Menteri jika Seri Paduka menolak nasihatnya seperti yang pernah berlaku ke atas Perdana Menteri sebelum ini. Itu mungkin sebab mengapa Ismail Sabri perlu berhati-hati supaya ‘pisang tidak berbuah dua kali’.

“Malaysia bukan negara kuasa rakyat sepenuhnya, sebaliknya sistem Raja Berperlembagaan masih berfungsi. Seri Paduka boleh menolak nasihat Perdana Menteri di bawah Perkara 40(2)(b) iaitu menggunakaan budi bicara untuk tidak memberi izin terhadap permohonan pembubaran Parlimen terlalu awal dari tarikh yang wajar dan sepatutnya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya