Peningkatan kos jejaskan sekuriti masa depan makanan negara

Peningkatan kos jejaskan sekuriti makanan negara

Kenaikan harga input pertanian dan kos lain boleh memberi kesan kepada sekuriti makanan negara pada masa hadapan jika langkah segera tidak diambil.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kenaikan harga input pertanian dan kos lain boleh memberi kesan kepada sekuriti makanan negara pada masa hadapan jika langkah segera tidak diambil.

Bercakap kepada Utusan Malaysia Pengarah Institut Penyelidikan Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari (IFFSA) Dr. Maryana Mohamad Nor berkata, selain itu perubahan cuaca turut dibimbangi boleh mempengaruhi sekuriti makanan negara.

MARYANA MOHAMAD

Menurutnya, usaha mengatasi masalah ini perlu mengambil kira isu dan cabaran di sepanjang rantaian bekalan makanan bermula daripada input pertanian hingga ke sisa makanan dan negara.

“Dasar sekuriti makanan merangkumi empat dimensi termasuk kesediaan, kebolehcapaian, penggunaan dan kestabilan bekalan makanan merentasi sepanjang rantaian nilai makanan yang meliputi aspek keselamatan makanan dan pemakanan bagi menjamin sumber itu selamat dan berkhasiat.

“Dalam konteks Malaysia hari ini, umumnya sehingga hari ini, keempat-empat dimensi tersebut berjaya kita penuhi dalam memastikan bekalan makanan negara kita mencukupi. Persoalannya berapa lamakah bekalan makanan kita dapat bertahan apabila kita merujuk kepada kempat-empat dimensi itu,” katanya.

Maryana yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Industri Asas Tani Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memberitahu, sekuriti makanan perlu diberikan perhatian yang lebih serius kerana ianya merupakan elemen penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil akibat penularan pandemik Covid-19 keutamaan terhadap perkara ini perlu diberikan perhatian.

“Merujuk kepada Food Security Global Index 2021, Malaysia tersenarai pada tangga yang ke-39 berbanding pada 2020 di tangga ke-43.

“Pengukuran indeks ini dilakukan berdasarkan kepada keupayaan negara dalam memenuhi keempat-empat dimensi dalam rantaian sekuriti makanan,” ujarnya.

Maryana berkata, Malaysia merupakan sebuah negara sedang membangun yang mempunyai nilai peningkatan penduduk yang tinggi hampir setiap tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN