Peningkatan kos cabar industri perikanan negara

Peningkatan kos cabar industri perikanan negara

RONALD Kiandee (tengah) meninjau pemprosesan ikan segar untuk sejuk beku di Jeti Mega Prestasi, Kampung Pak Mayong, Pasir Puteh, Kelantan hari ini. FOTO/ TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH : Peningkatan kos bahan api, buruh dan penyelenggaraan peralatan serta membaik pulih kerosakan bot menjadi salah satu cabaran yang dilihat boleh memberikan kesan kepada pemain industri perikanan laut dalam negara sekaligus menjejaskan bekalan bahan mentah itu jika tidak ditangani dengan betul.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, berberapa langkah sudah diambil bagi membangunkan industri itu melibatkan aktiviti penangkapan ikan laut dalam, akuakultur dan pembangunan nelayan pesisir pantai menerusi Dasar Makanan Negara 2.0.

Menurutnya, MAFI telah turun padang untuk mendapatkan maklumat tepat, mendengar cadangan dan saranan daripada pemain industri dalam menggubal dasar untuk mewujudkan suasana pembangunan industri yang kondusif dalam era peningkatan kos pengurusan ketika ini.

“Cabaran yang dihadapi industri perikanan laut dalam atau mana-mana sektor dan sub-sektor yang berkaitan akan diteliti di peringkat kementerian.

“Ia termasuk membangun dan menyokong kejayaan pemilik kompleks perikanan persendirian (swasta) dan pelabuhan perikanan milik kerajaan yang diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) demi keperluan bekalan makanan negara,” katanya selepas melakukan lawatan Kompleks Syarikat Gelombang Utama Sdn. Bhd. di Pusat Pendaratan Ikan Mega Prestasi, Kampung Pak Mayong, di sini hari ini.

Ronald memberitahu, perikanan laut dalam yang diterokai pemain industri tempatan bukan sahaja membekalkan sumber makanan negara malah menjalan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Katanya, bagi merancakkan lagi industri perikanan negara permohonan untuk mendaratkan ikan di jeti persendirian tanpa perlu ke kompleks LKIM dan mempercepatkan proses pembaharuan lesen bot yang tersadai sepanjang Pandemik Covid-19 akan diperincikan oleh MAFI dengan kaedah yang terbaik.

“Perkembangan keseluruhan  perlu diteliti dan dipertimbangkan. Perkara yang menghalang pertumbuhan industri perlu dilihat oleh kerajaan untuk dimurnikan . 

“Agenda ini bertujuan membangunkan sektor perikanan secara lebih produktif,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, kenaikan kos pengurusan yang meningkat adalah fenomena global yang tidak menjejaskan sekuriti makanan negara kerana kerajaan sentiasa mengambil langkah drastik membantu peggusaha dan rakyat menerusi pelbagai inisiatif dari dimensi  pembekalan dan keupayaan rakyat untuk berbelanja.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya