Penduduk Negeri Sembilan kini berjumlah 1.2 juta

Penduduk Negeri Sembilan kini berjumlah 1.2 juta

DR. MOHD. Uzir Mahidin dalam sidang akhbar Penerbitan Subnasional DUN dan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020: Daerah Pentadbiran di Seremban hari ini. - FOTO/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jumlah penduduk di Negeri Sembilan setakat tahun 2020 mencatatkan jumlah seramai 1,199,974 orang berbanding seramai 986,204 orang pada tahun 2010.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, daripada jumlah berkenaan, daerah Seremban mempunyai bilangan penduduk tertinggi iaitu seramai 692,000 orang diikuti Port Dickson seramai 129,000 dan Jempol seramai 127,000.

Jelas beliau, daerah Jelebu dan Rembau pula mempunyai bilangan penduduk terendah di negeri ini iaitu masing-masing seramai 46,000 dan 47,000 orang.

Katanya, berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 itu, jumlah penduduk  warganegara di negeri ini adalah seramai 1,132,299 orang manakala bukan warganegara berjumlah 67,745 orang.

“Jumlah penduduk Negeri Sembilan pertama kali melepasi jumlah sejuta orang dan antara faktor yang menyumbang adalah negeri ini menerima limpahan kepesatan ibu negara yang menyebabkan keperluan perumahan telah pergi ke sekitaran Kuala Lumpur.

“Jika di Selangor ia sampai Klang dan Kapar manakala di Negeri Sembilan, sudah ramai yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi tinggal di Nilai, Senawang dan Port Dickson didorong ketersambungan yang bagus dan masa bekerja fleksibel,” katanya.

Beliau merangkap Pesuruhjaya Banci 2020 berkata demikian dalam sidang akhbar Penerbitan Subnasional Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020: Daerah Pentadbiran di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Uzir berkata, daripada keseluruhan 36 buah DUN yang ada di negeri ini, DUN Nilai mempunyai bilangan penduduk paling ramai iaitu 119,613 orang manakala DUN Senaling menunjukkan bilangan penduduk terendah iaitu 8,024 orang.

“Di Negeri Sembilan, kami dapati tiga DUN mencatatkan kepadatan penduduk paling tinggi iaitu 4,205 penduduk bagi setiap kilometer persegi iaitu di DUN Seremban Jaya.

“Ia diikuti di DUN Sikamat iaitu seramai 3,211 penduduk dan DUN Ampangan seramai 3,138 bagi setiap kilometer persegi,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya