SEREMBAN: Pihak berwajib digesa mengambil langkah segera menyelenggara Sungai Paroi yang turut menjadi punca kepada kejadian banjir yang berlaku di beberapa kawasan di Ampangan di sini baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Sungai Landak, Ampangan, Mohd. Zairi Abdul Razak berkata, kerja penyelenggaraan sungai itu perlu dilakukan bermula di Taman Negeri sehingga Kampung Baru Blok C, Ampangan.
“Kejadian banjir yang berlaku sebelum ini disebabkan sungai yang tidak diselenggara, terdapat longgokan pasir yang banyak di beberapa lokasi dan menyebabkan sungai menjadi cetek dan kecil.
“Penduduk berharap pihak berkaitan memandang serius perkara ini kerana penduduk terpaksa menanggung kos tinggi setiap kali berlaku banjir.
“Hakisan tanah juga berlaku contohnya di tebing jambatan setiap kali berlaku banjir, jika tiada tindakan diambil, perkara buruk boleh berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Mohd. Zairi juga telah menulis surat kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan supaya tindakan sepatutnya diambil namun masih belum ada tindakan.
“Masalah sampah sarap di sungai turut memburukkan keadaan apabila ia menyebabkan air sungai lambat mengalir dan tersekat. Saya telah memaklumkan kepada pihak JPS supaya dapat segera mengambil tindakan namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil,” jelasnya. – UTUSAN










