Penagih ambil masa untuk pulih - Utusan Malaysia

Penagih ambil masa untuk pulih

SEBAHAGIAN daripada penagih dadah yang ditahan selepas diserbu polis di Gunung Keriang, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah memerlukan masa, tekad dan bantuan daripada komuniti untuk menjauhi pengambilan barang terlarang itu.

Ketua Koordinator Unit Pusat Penyelidikan dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (Acreda) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Amin Al Haadi berkata, terdapat pelbagai cara mengubati penagih dadah mengikut keperluan rawatan dikehendaki.

Katanya, masalah penagihan bahan dadah itu dipanggil dengan istilah bio psychosocial spiritual relapse disease iaitu sejenis penyakit yang mempunyai banyak jenis rawatan seperti perubatan, perubahan tingkah laku, agama dan kerjaya.

“Ada yang lebih kepada rawatan perubatan, ada sesetengah daripada penagih mempunyai isu dengan psikiatri. Selain itu, rawatan mengfokuskan kepada perubahan tingkah laku seperti dilakukan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih).

“Ada pula mengambil pendekatan melalui agama, seperti dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atau pusat perlindungan remaja. Ada juga rawatan membantu penagih untuk meninggalkan dunia lama mereka dan membentuk kerjaya selepas melalui detoks,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, negara masih gagal mengekang ancaman dadah walaupun telah 39 tahun melawan musuh nombor satu negara itu dengan peruntukan besar sehingga RM800 juta setahun diberikan kepada agensi yang bertanggungjawab menanganinya.

Mengulas mengenai perkara itu, beliau berkata, untuk penagih pulih seperti sediakala adalah satu perjalanan hidup yang panjang selain bergantung kepada tekad individu itu sendiri untuk berubah.

“Walaupun sudah menjalani pelbagai rawatan atau detoks, penagih itu tidak pulih sepenuhnya. Ia sangat bergantung kepada individu itu sendiri untuk mengekalkan diri dalam keadaan bersih,” jelasnya.

Tambahnya, apabila penagih pulang kepada komuniti, ia bukan sahaja tanggungjawab ahli keluarga untuk membantu mereka tetapi kejiranan atau masyarakat setempat perlu memainkan peranan.

“Mereka ini sangat memerlukan sokongan daripada kita sebagai komuniti. Sebaik sahaja penagih kembali kepada komuniti, masyarakat perlu menerima menjadi sebahagian daripada penduduk dengan membantu mereka kekal pulih sambil menyalurkan perkara-perkara positif,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN