KUALA LUMPUR: Persediaan Pemuda Barisan Nasional (BN) berada di tahap 70 ke 80 peratus untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pergerakan itu sedang menilai dan meneliti kesiapsiagaan bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Menurut beliau, pengalaman ketika bersaing di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka menampakkan cawangan-cawangan parti mampu mendekati pengundi muda lalu menandakan kekuatan BN.
“Lebih 20,000 cawangan UMNO di seluruh Malaysia dan melalui pengalaman menghadapi pilihan raya sebelum ini, kita dapat lihat cawangan tersebut hidup dan mampu mendekati serta mengadakan pelbagai bentuk program bersama anak muda yang mempunyai pelbagai kepentingan dan kehendak. Kita mampu mendapatkan undi mereka.
“Melalui laporan yang kami baru dapat, keputusan penuh di pelbagai PDM hampir 90 peratus saluran anak-anak muda terutamanya 18 hingga 25 tahun menunjukkan kita menang. Bermakna jentera sudah memainkan peranan besar untuk mendekati golongan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu, akhbar melaporkan, BN memperoleh kemenangan selesa apabila berjaya mengalahkan parti-parti pesaing di PRN Johor dan Melaka, menandakan parti keramat orang Melayu itu kembali berjaya memikat hati pengundi.
Mengulas mengenai tarikh yang sesuai bagi PRU15 diadakan, Asyraf Wajdi beranggapan bahawa ia perlu dilakukan secepat mungkin supaya mandat rakyat dapat diserahkan dan kerajaan yang stabil dapat ditubuhkan.
Jelasnya, pergerakan pemuda sentiasa berpegang kepada pendirian parti yang telah dizahirkan melalui tiga platform besar iaitu Perhimpunan Agung UMNO, Perhimpunan Agung Khas UMNO dan juga Konvensyen BN.
“Jika kita melihat daripada resolusi dan sentimen yang diputuskan dalam tiga platform berkenaan, kita dapat lihat memang perlu untuk menyerahkan mandat kepada rakyat.
“Sewaktu kita menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dahulu, memang sepakatan kita adalah untuk menubuhkan kerajaan setelah jatuhnya Pakatan Harapan (PH) untuk tempoh tertentu, bukan jangka masa panjang,” katanya.
Tambahnya, selagi mana mandat tidak diserahkan kepada rakyat, selagi itu tiada keyakinan dan kepercayaan daripada pelabur-pelabur yang akan melabur ke sebuah negara.
“Tiada pelabur ingin melabur ke sebuah negara yang bagi mereka bila-bila masa sahaja boleh jatuh. Kita sudah ada tiga Perdana Menteri dan tiga kerajaan dalam tempoh empat tahun, apakah jaminan ia tidak akan berulang lagi?” Soalnya. – UTUSAN