Pembeli RMMJ kecewa rumah belum boleh didiami - Utusan Malaysia

Pembeli RMMJ kecewa rumah belum boleh didiami

Adham Baba ketika lawatan ke RMMJ Taman Kota Jaya 2 bagi mendengar rintihan pembeli yang kecewa dengan penangguhan kemasukan ke rumah berkenaan yang didakwa telah ditunda beberapa kali.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Pembeli rumah mampu milik Johor (RMMJ) Taman Kota Jaya 2 di sini kecewa apabila kemasukan ke rumah berkenaan didakwa sudah ditangguh beberapa kali.

Seorang pembeli, Youis Yap, 36 berkata,  mereka telah menandatangani perjanjian jual beli rumah pada pertengahan 2019 dan  pemaju memaklumkan rumah tersebut dijangka siap dalam tempoh dua tahun dari tarikh tersebut.

Bagaimanapun, menurut beliau,   akibat pandemik Covid-19 kemasukan ke rumah di kawasan tersebut  ditangguhkan pada Disember 2021. 

“Tiba tarikh Disember tahun lalu, pemaju tangguhkan lagi kepada Mac lalu, kemudian ditunda kepada Jun  dan kini dengar pada Ogos pula,” kata Youis ketika ditemui selepas Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba melawat  projek perumahan berkenaan untuk mendengar rintihan pembeli.

Menurut beliau, penangguhan tersebut menyukarkan pembeli yang perlu menanggung hutang bank dan  dalam masa sama  membayar sewa rumah.

“Kebanyakan kami  mula membayar bank sejak tahun 2019 namun sehingga kini tiada jawapan pasti bila kami boleh berpindah masuk ke rumah kami,”katanya. 

Sementara itu, Adham berkata, beliau menerima aduan daripada pembeli yang terkesan kerana masih tidak boleh mendiami rumah dibeli walaupun ansurans bulanan terpaksa dibayar kepada bank.

“Saya mohon budi bicara Majlis Daerah dan Ahli Majlis yang berkaitan untuk mengambil tindakan segera. Saya juga akan memanjangkan perkara ini kepada Menteri Besar dan juga exco kerajaan negeri Johor bagi menangani masalah ini,”katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN