Pembaharuan politik UMNO Perlis tamatkan sistem politik lama, warlord

Pembaharuan politik UMNO Perlis tamatkan sistem politik lama, warlord

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Pembaharuan politik UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perlis yang dimulai dengan pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri disifatkan sebagai satu permulaan kepada pembaharuan politik negeri ini, sekali gus menamatkan dominasi sistem politik lama dan warlord.

Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan UMNO negeri, Nor Halmey Hamdah berkata, dominasi sistem politik lama dan warlord itu secara tidak langsung menjejaskan perancangan pembangunan negeri dan parti. 

Katanya, adalah menjadi keutamaan kepada UMNO dan BN melakukan pembaharuan dengan tindakan yang dibuat dan disaksikan rakyat akibat kemunculan beberapa pemimpin yang cuba mendominasi serta membelakangkan parti demi kepentingan diri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pembangunan politik UMNO dan BN negeri adalah berlandaskan perancangan Pusat dan negeri. Senario tersebut turut membabitkan Perlis yang merupakan negeri yang turut merasai kebangkitan dan pembaharuan direncanakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. 

“Di peringkat Pusat, kejayaan Presiden parti yang menampilkan 87 peratus dan 70 peratus muka baharu dalam politik menghasilkan kejayaan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sekali gus membuktikan pembaharuan yang dirancang presiden itu mendapat sokongan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

NOR HALMEY HAMDAH

Menurut Nor Halmey, rakyat Perlis mengharapkan pembaharuan sepertimana kejayaan Presiden UMNO melakukan pembaharuan dalam PRN Melaka dan Johor.

Katanya, di bawah pentadbiran Azlan yang juga Menteri Besar akhirnya menamatkan rangkaian dan pengaruh warlord daripada sistem politik lama yang jelas bertentangan dengan UMNO dan BN pusat. 

“Melalui pembaharuan 70 peratus muka baharu di Perlis ia membawa lembaran baharu kepada politik negeri ini yang akan menamatkan pengaruh dan rangkaian sistem politik lama.

“Dengan mood rakyat di Perlis dan seluruh negara ketika ini serta pembaharuan yang dirancang presiden dan Menteri Besar, diyakini Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah tidak mustahil untuk UMNO dan BN menyapu bersih tiga kerusi Parlimen dan 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis,” katanya.

AZLAN MAN

Dalam pada itu, katanya, aspek kedua dalam pembaharuan politik Perlis adalah perlu meletakkan keutamaan bagi mentaati dan mematuhi institusi beraja di negeri ini.

Katanya, ia menjadi teras serta keutamaan kepada kestabilan dalam pentadbiran negeri selama ini dan sejajar dengan prinsip UMNO yang meletakkan ketaatan kepada institusi beraja.

“Sebarang tindakan yang bertentangan dengan saranan dan perintah institusi beraja adalah bertentangan dengan pembangunan UMNO dan BN. 

“Justeru, pemimpin yang ingkar dengan institusi beraja adalah perlu ditolak dan digantikan agar ia selaras dengan perancangan UMNO dan BN bagi mengelakan percanggahan dengan prinsip parti serta mengelakan mewujudkan ‘dinasti dalam parti politik di Perlis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×