Pemandu Perodua Kancil maut, kenderaan terbabas di lampu isyarat

Pemandu Perodua kancil maut, kenderaan terbabas di lampu isyarat Plaza Pelangi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berusia 50-an maut selepas kenderaan jenis Perodua Kancil yang dipandunya terbabas dan merempuh sebuah kenderaan lain di simpang empat berhadapan pusat beli belah Plaza Pelangi, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kemalangan pada pukul 9.10 pagi itu, pemandu kenderaan yang dirempuh itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.

“Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kenderaan Perodua Kancil dari arah pusat bandar gagal dikawal sebelum terbabas dan melanggar batu penghadang dan merempuh sebuah kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat merah.

“Akibat kemalangan tersebut, pemandu Perodua Kancil berkenaan dilaporkan maut di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan yang dirempuh mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya memohon bantuan orang awam yang menjadi saksi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan yang dijalankan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hafiz Jaafar Mad Ariff di talian 017-5919208.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lokasi kemalangan tersebut pernah menjadi tumpuan apabila satu rakaman kemalangan bertarikh 10 Oktober 2020 yang tular memaparkan sebuah Perodua Myvi melanggar lampu isyarat dan merempuh sebuah Honda Accord.

Akhbar ini turut melaporkan, pemandu Perodua Myvi berkenaan yang merupakan seorang wanita berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian hingga menyebabkan pemandu Honda Accord iaitu seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut.

Sehubungan itu, wanita itu, Nur Fatin Nasrah Suhaimi dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM8,000 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan maut.-UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN