JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berusia 50-an maut selepas kenderaan jenis Perodua Kancil yang dipandunya terbabas dan merempuh sebuah kenderaan lain di simpang empat berhadapan pusat beli belah Plaza Pelangi, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kemalangan pada pukul 9.10 pagi itu, pemandu kenderaan yang dirempuh itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.
“Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kenderaan Perodua Kancil dari arah pusat bandar gagal dikawal sebelum terbabas dan melanggar batu penghadang dan merempuh sebuah kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat merah.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu Perodua Kancil berkenaan dilaporkan maut di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan yang dirempuh mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya memohon bantuan orang awam yang menjadi saksi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan yang dijalankan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hafiz Jaafar Mad Ariff di talian 017-5919208.
Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN