Pemandu Myvi dipercayai mabuk direman empat hari - Utusan Malaysia

Pemandu Myvi dipercayai mabuk direman empat hari

SUSPEK berusia 24 tahun diiring keluar anggota polis selepas Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka mengeluarkan perintah reman sehingga 10 Jun ini. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pemandu Perodua Myvi yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan sepasang suami isteri orang kurang upaya (OKU) terbunuh dalam nahas di Jalan Serkam Pantai, Jasin semalam direman empat hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga 10 Jun itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Nabihah Mohd. Noor terhadap pemuda berusia 24 tahun berkenaan.

Reman itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan mahkamah dengan diiringi pegawai dan anggota polis pada pukul 9.50 pagi dan proses permohonan reman selesai kira-kira satu jam kemudian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Amran@Mohamad Zaki berkata, suspek telah ditahan semalam di Hospital Jasin.

Katanya, semakan lanjut mendapati, suspek turut mempunyai enam rekod saman membabitkan kesalahan lalu lintas.

“Kita masih menunggu laporan perubatan ujian alkohol daripada pihak hospital yang dijangka akan diperolehi dalam tempoh tujuh hari lagi,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, sepasang suami isteri OKU pendengaran dan percakapan maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu lelaki mabuk dalam nahas membabitkan empat kenderaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Ezuddin Mohammad, 50, dan isterinya, Surayah Muhamat, 48, yang menunggang Yamaha Ego Solaris meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.

Ketika kejadian, pasangan itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Melaka ke Merlimau sebelum tiba-tiba kereta dari arah Merlimau terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal ditunggang mangsa.

Pasangan suami isteri itu dilaporkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya