fbpx

Pemandu Alphard lagak samseng, ludah kenderaan lain berdepan tiga pertuduhan

LIM Koh Cing yang tular memandu secara berbahaya didakwa di Mahkamah Majistret Selayang. - UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

KUALA LUMPUR: Pemandu Toyota Alphard yang dirakam berlagak samseng, menggunakan laluan kecemasan dan meludah ke arah kenderaan lain di Lebuhraya Karak pada April lalu dihadapkan dengan tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini.

Tertuduh, Lim Koh Cing, 44, didakwa memandu sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard secara melulu dan berbahaya kepada orang awam dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pertuduhan itu memperuntukkan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa atas pertuduhan meludah ke arah kenderaan lain melalui tingkap pemandu dan dituduh mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM400.

Bagi pertuduhan ketiga, Koh Cing didakwa memandu di laluan kecemasan dan dituduh mengikut Kaedah 53(1) Lalulintas 1959 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 3.40 petang, 30 April yang lalu di Lebuhraya Karak arah Bentong, Gombak.

Selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni, Koh Cing mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan membabitkan dakwaan memandu secara meululu dan memandu di laluan kecemasan.

Lelaki itu bagaimanapun mengaku bersalah bagi pertuduhan meludah dan didenda maksimum RM400.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, Anis Farhah mencadangkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dikenakan ke atas tertuduh namun Koh Cing merayu supaya jumlah itu dikurangkan kerana dia perlu menyara keluarganya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Koh Cing ditahan reman selama tiga hari bermula 2 Mei 2022 untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lelaki itu sebelum ini ditahan di pekarangan Bahagian Siasatan dan Perundangan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!