besar kepala

Pemain gergasi ayam ‘besar kepala’

Isu harga ayam di pasaran kembali hangat, apabila pemain-pemain gergasi industri tersebut mengumumkan akan menaikkan harga ternakan itu di pasaran bermula Julai. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu kenaikan harga ayam kembali hangat, apabila pemain-pemain gergasi industri tersebut mengumumkan akan menaikkan harga ternakan itu di pasaran bermula Julai.

Hal ini sekali gus membuktikan industri itu masih dikuasai pihak swasta dan kerajaan seolah-olah tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menstabilkan harga demi kepentingan pengguna.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Nafas Food Processing and Marketing Sdn. Bhd., Shafiqurrahman Shamsuddin berkata, bukti bahawa industri ayam masih dalam cengkaman pihak swasta jelas dilihat melalui sikap ‘besar kepala’ pemain gergasi industri ayam yang baru-baru ini secara terbuka mengumumkan, bahawa mereka perlu menaikkan harga ayam bermula Julai susulan berakhirnya skim harga runcit maksimum.

Sebelum ini kerajaan memperuntukkan RM720 juta kepada penternak ayam bagi memastikan harga terna­kan itu kekal rendah dan mampu dibeli sebahagian besar rak­yat.

Bagaimanapun subsidi itu gagal mengekang kenaikan harga barang makanan yang paling popular di negara ini.

Shafiqurrahman berkata, langkah sedemikian ternyata akan menindas pengguna sedangkan pemain industri ayam mendapat keuntungan apabila menaikkan harga bekalan itu di pasaran.

Lebih malang, kerajaan seakan-akan akur dan tunduk dengan desakan pihak swasta sehingga tidak mampu membuat apa-apa untuk menstabilkan harga ternakan tersebut, sedangkan sudah banyak pendedahan dibuat pihak media tentang kegiatan kartel yang dilakukan oleh sebilangan pemain gergasi industri ayam negara ini.

“Kita tahu bahawa harga siling ayam telah ditetapkan kerajaan namun mendapat tentangan hebat daripada beberapa pemain gergasi industri. Mereka secara jelas menentang harga siling yang ditetapkan. Mereka meletakkan tekanan itu kepada penternak-penternak kontrak di bawah mereka.

“Penternak ini dipaksa membayar harga bekalan anak ayam dan dedak ayam yang tinggi. Ini membuktikan kerajaan tiada sebarang kawalan yang jelas berhubung dua perkara pokok yang menjadi faktor peningkatan harga ayam di pasaran, iaitu anak ayam dan makanan dedak.

“Kalau kita tengok hari ini, sudah ada tekanan secara terang-terang oleh pemain gergasi industri, mencadang­kan akan berlaku kenaikan harga ayam selepas 30 Jun ini. Jadi apa peranan kerajaan?” soalnya.

Untuk rekod, kelmarin Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng Choon Ngee berkata, harga baharu ayam segar selepas berakhirnya skim harga maksimum runcit ayam pada 30 Jun ini, perlu melebihi RM10 sekilogram bagi mendapatkan situasi ‘menang-menang’ antara pemain industri rantaian makanan itu serta pengguna.

Katanya, kenaikan ini perlu dibuat kerana mengambil kira kos operasi di ladang ternakan yang meningkat kepada kira-kira RM7 sekilogram susulan penamatan subsidi RM1.40 kepada penternak yang berkuat kuasa 1 Julai ini.

Mengulas perkara itu, Shafiqurrahman berkata langkah kerajaan bertindak mengapungkan harga ayam di pasaran bermula Julai ini dijangka akan menyaksikan pasaran ayam menjadi huru-hara dan rakyat terpaksa bersedia membayar harga ternakan itu yang lebih tinggi.

“Sedangkan sewaktu pene­tapan harga maksimum ayam pun, syarikat-syarikat gergasi swasta sudah berani main langgar saja dan menaikkan harga sesuka hati, kini cuba bayangkan apabila kerajaan mengapungkan harga, pasti mereka akan lebih bebas membuat sesuka hati. Apa akan jadi kepada rakyat?,” soalnya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan perlu segera menubuhkan sebuah lembaga unggas bagi mengawal ternakan ayam, itik dan puyuh kerana itu satu-satunya mekanisme mengawal industri tersebut daripada berterusan dikuasai pihak swasta yang hanya memikirkan keuntungan berbanding tanggungjawab nasional.

Sementara itu, Shafiqurrahman membidas dakwaan segelintir penternak yang berasa terancam dengan langkah intervensi kerajaan terhadap sektor ayam, melalui penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) ke dalam sektor itu bagi mengimbangi pengaruh pihak swasta.

“Mungkin keadaan ini timbul kerana berlaku kurang faham terhadap ekosistem sebenar industri ayam. Melalui penyertaan GLC, kita akan menyuburkan lagi penternak-penternak kecil,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN