Pelan jangka sederhana, panjang tangani beban kenaikan harga barangan

Pelan jangka sederhana, panjang tangani beban kenaikan harga barang

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa langkah jangka sederhana dan panjang dilakukan kerajaan bagi melindungi rakyat daripada beban kenaikan harga dan menstabilkan bekalan barang yang dihadapi seluruh negara kebelakangan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu adalah susulan daripada pelan jangka pendek diumumkan kerajaan sebelum ini akibat kesan perkembangan global terkini yang menjejaskan bekalan makanan hingga berlakunya kenaikan harga bahan makanan.

Katanya, kerajaan sebelum ini mengumumkan lima pelan jangka pendek menghadapi situasi tersebut antaranya membatalkan kelulusan kuota import (AP) barangan makanan dari luar negara serta-merta, menyekat pengeksportan ayam ke luar negara dan memperkenal bantuan kewangan secara terus kepada rakyat terutamanya golongan B40 mulai 1 Julai ini.

“Lima langkah jangka pendek ini adalah pendekatan Kerajaan Tuanku dalam melindungi seluruh Keluarga Malaysia daripada beban kenaikan harga barangan selain pelbagaisubsidi yang dijangka mencecah RM71 bilion tahun ini.

“Langkah jangka pendek ini disusuli dengan beberapa langkah jangka masa sederhana dan jangka masa panjang untuk menstabilkan bekalan dan harga makanan,” katanya dalam Ucapan Sembah Tahniah bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perkembangan global terkini khususnya isu bekalan makanan dan kenaikan harga bahan makanan yang pastinya menjejaskan kesejahteraan rakyat.

“Mutakhir ini dunia sedang berdepan dengan pelbagai ancaman antaranya ketidaktentuan global akibat ketegangan geopolitik dan perubahan iklim dunia. Kemelut yang berlaku ini telah memberi dampak kepada dunia dan Malaysia tidak terkecuali menerima tempiasnya.

“Krisis ekonomi yang berlaku akibat pandemik dan kini konflik Rusia-Ukraine mengakibatkan Malaysia, rantau Asia juga rantau lain di dunia mendapat bahananya. Rantaian bekalan global yang terjejas akibat fenomena ini telah menyebabkan harga bahan makanan dunia meningkat melebihi 30 peratus dan kesan ini turut dirasai di negara kita,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, usaha kerajaan memulihkan ekonomi pasca pandemik semakin berhasil dan  berada pada momentum terbaik apabila ekonomi negara mencatat pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus pada 2021 berbanding penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Kata Perdana Menteri, kerajaan kini tekad memacu ekonomi mencapai pertumbuhan antara 5.3 peratus sehingga 6.3 peratus seperti diunjurkan di samping pembukaan sempadan sekali gus mampu merancakkan pemulihan ekonomi khususnya sektor pelancongan menerusi peningkatan kemasukan dua juta pelancong asing dan bakal menyumbang pendapatan sebanyak RM8.6 bilion.

Beliau berkata, pihaknya komited melonjakkan prestasi perdagangan dan pelaburan negara termasuk memastikan pelaburan langsung domestik terus dirangsang dan sentiasa memastikan urusan para pemain industri dipermudah serta sistem penyampaian perkhidmatan awam ditingkatkan.

“Langkah-langkah yang diambil ini mendorong keyakinan komuniti pelabur antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan sekali gus kemajuan ekonomi negara kekal teguh. Sebagai contoh sepanjang suku pertama 2022, pelaburan langsung asing bersih meningkat kepada RM24.4 bilion berbanding RM18.4 bilion pada suku keempat tahun lalu.

“Jumlah perdagangan luar, berkembang sebanyak 23.6 peratus kepada RM624.9 bilion manakala aliran masuk bersih dana asing kekal konsisten dengan jumlah RM7.4 bilion setakat ini,” katanya.

Beliau berkata, program agenda perlindungan sosial sentiasa ditambah baik bagi memastikan rakyat tidak tercicir daripada arus pembangunan apabila melaksanakan fasa pertama Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia pada bulan lalu dengan melibatkan 80 lokaliti bandar dan luar bandar termasuk perkampungan Orang Asli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya