haji

Pasangan tak sabar tunai haji

haji
NUUR Hidayah Shamsudin dan Mohd. Shaiful Jamalamree melakukan persiapan selepas terpilih mengerjakan ibadah haji tahun ini di kediaman mereka di Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pasangan muda di sini tidak menyangka terpilih menunaikan ibadah haji tahun ini sekali gus menganggapnya sebagai ketentuan-Nya di saat menantikan cahaya mata sulung sejak empat tahun lalu.

Nuur Hidayah Shamsudin, 34, berkata, dia dan suami, Mohd. Shaiful Jamalamree, 37, masih terkejut sejurus menerima surat panggilan mengerjakan rukun kelima itu pada 17 Mei lalu.

Menurutnya, ini merupakan panggilan kedua setelah dia menolak tawaran kali pertama pada 2011 disebabkan faktor usia termasuk sedang menuntut di sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Lumut, Perak.

“Saya masih terkejut dan berasa sebak sebaik sahaja menerima panggilan menjejakkan kaki ke Mekah tahun ini dalam tempoh yang singkat dua minggu lalu.

“Memang tidak sangka apabila nama terpilih sekali lagi memandangkan saya tidak pernah membuat sebarang rayuan atau penangguhan ketika menolaknya pada usia 23 tahun.

“Saya percaya, perancangan Allah SWT adalah yang terbaik dan tepat. Panggilan haji kali ini ketika saya sudah pun bergelar isteri sekali gus dapat mengerjakan ibadah bersama suami tercinta,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu, Nuur Hidayah yang juga anak bongsu daripada empat beradik memberitahu, ini juga merupakan berkat doa ibu bapanya iaitu Shamsudin Mahfodz, 72, dan Noriah Jaafar, 68, untuk melihat salah seorang daripada anak mereka menunaikan ibadah haji.

“Allah SWT jemput kami ke sana (Mekah) tepat pada waktunya iaitu ketika kami benar-benar mengimpikan cahaya mata pertama setelah empat tahun mendirikan rumah tangga.

“Saat menjalani ibadah haji nanti, kami mahu memohon doa agar dikurniakan penyeri sulung yang sudah sekian lama dinanti-nantikan termasuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa dan keluarga,” ujarnya sebak.

Sementara itu, Mohd. Shaiful berkata, ketika ini kira-kira 80 peratus persiapan termasuk penyediaan kelengkapan serta pakaian sudah siap dilakukan sejak minggu lalu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN