Malaysia perlu lebih ramai juruaudit dalaman ikut piawaian global 

Malaysia perlu lebih ramai juruaudit dalaman ikut piawaian global 

SUHAILAH Mohamed Abdulla (tengah) ketika perbincangan meja bulat tentang Risiko Masa Depan – Tinjauan 2026 di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan lebih ramai Juruaudit Dalaman Bertauliah (CIA) yang dilatih mengikut piawaian global bagi merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh, menarik pelaburan asing serta mengelakkan potensi krisis kewangan dan tadbir urus.

Ini berikutan cabaran kompleks yang dihadapi oleh perniagaan di peringkat global dan tempatan.

Presiden Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM), Suhailah Mohamed Abdulla berkata, Malaysia mempunyai lebih 1,000 syarikat tersenarai awam, namun hanya terdapat kira-kira 800 CIA. 

“Justeru itu, IIAM menyasarkan untuk menggandakan bilangan CIA dalam tempoh lima tahun akan datang bagi meningkatkan daya saing global negara. 

“Institut ini akan melaksanakan lebih banyak program kesiapsiagaan, di samping memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa, institusi profesional dan sektor swasta untuk meningkatkan profil profesion audit dalaman di Malaysia,” katanya.

Belliau berkata demikian dalam Sesi Meja Bulat Persidangan Gabungan Institut Juruaudit Dalaman Asia (ACIIA) 2025 yang diadakan di sini, semalam.

Menurut beliau, juruaudit kini turut menjadi sasaran atau mangsa kepada serangan siber yang boleh menjejaskan integriti proses audit dan keselamatan maklumat organisasi.

Katanya, keselamatan siber berbeza dengan kebimbangan lain seperti gangguan rantaian bekalan, perubahan iklim, mahupun ketegangan geopolitik.

“Perkembangan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), sistem awan dan automasi telah membuka peluang baharu untuk peningkatan kecekapan namun pada masa sama memperluas permukaan serangan siber terhadap organisasi dan fungsi audit dalaman itu sendiri.

“Juruaudit mengendalikan data sulit dan mempunyai akses kepada sistem kritikal organisasi. Ini menjadikan mereka sasaran berprofil tinggi dalam serangan siber yang disasarkan, sama ada melalui emel pancingan data, perisian hasad atau manipulasi data audit,” katanya.

Suhailah berkata, juruaudit yang bergantung kepada sistem teknologi maklumat untuk menjalankan tugasan mereka berdepan risiko operasi jika sistem tersebut diserang. 

“Contohnya, penggodam boleh mengakses laporan audit atau mengubah data untuk menutup kelemahan yang telah dikenal pasti.

“Serangan seperti ini bukan sahaja memberi implikasi kewangan, tetapi juga menjejaskan kepercayaan pelabur dan pihak berkepentingan terhadap tadbir urus syarikat.

“Dalam beberapa kes global, audit dalaman telah digunakan sebagai pintu masuk oleh penggodam untuk mencuri maklumat strategik, termasuk data kewangan serta pelan pelaburan,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Juruaudit Dalaman (IIA), Anthony Pugliese berkata, juruaudit dalaman secara global berdepan risiko keselamatan siber yang semakin kompleks.

Katanya, tinjauan bertajuk Risk in Focus 2026 yang dilaksanakan pihak agensi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu di peringkat global, meliputi kira-kira 5,000 juruaudit dalaman, keselamatan siber berada di tangga teratas dalam senarai lima kebimbangan utama.

“Ini diikuti dengan gangguan digital, daya tahan perniagaan, sumber manusia dan perubahan peraturan.

“Di peringkat rantau Asia Tenggara, kebimbangan teratas kekal keselamatan siber, diikuti daya tahan perniagaan, gangguan digital, sumber manusia dan situasi geopolitik serta makro ekonomi.

“Rantau lain turut menunjukkan kebimbangan hampir serupa dan hanya sedikit perbezaan, Eropah misalnya memperlihatkan kebimbangan tentang alam sekitar manakala Afrika risau tentang penipuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×