JOHOR BAHRU: Sepasang kekasih warga Singapura yang didapati menagih dadah ketika sedang bercuti di negeri ini pada 31 Mei lalu ditahan kerana bergaduh.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, perkara itu terbongkar apabila polis menerima aduan pada pukul 4.28 pagi terdapat pergaduhan sepasang kekasih sehingga menyebabkan kecederaan kepada teman wanita.
“Dalam kejadian terbabit, pasangan berusia 34 dan 29 tahun itu bertengkar sebelum suspek lelaki mengambil pisau dan menikam punggung sebelah kanan teman wanitanya.
“Siasatan dibuat mendapati kedua-duanya merupakan warga Singapura dan telah menyewa sebuah pangsapuri perkhidmatan di Mount Austin serta positif dadah. Kedua-duanya kini telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Tambah Kamarul Zaman, pihaknya mengalu-alukan kedatangan pelancong antarabangsa ke negeri ini namun diingatkan agar mematuhi undang-undang sedia ada atau berdepan tindakan tegas.
Sementara itu, beliau turut menafikan laporan sebuah portal media sosial Singapura yang menyenaraikan tujuh lokasi didakwa berbahaya di negeri ini khususnya buat warganegara berkenaan yang berkunjung ke sini.
“Ada media asing tidak bertanggungjawab dan menuduh Johor tidak selamat dengan menyebarkan beberapa lokasi yang didakwa berbahaya, saya menafikan tuduhan berkenaan. Polis Johor dengan kerjasama kerajaan negeri telah meningkatkan kemampuan dan juga penugasan polis di mana sejak sempadan dibuka, seramai 1,600 pegawai dan anggota ditugaskan meningkatkan kawalan di 41 lokasi tumpuan umum seluruh negeri.
“Sehingga kini, polis tidak menerima walau satu pun laporan kejadian jenayah melibatkan (mangsa) rakyat negara itu, yang ada hanyalah laporan pecah rumah yang berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.
Mengikut laporan portal berkenaan, antara lokasi yang didakwa tidak selamat untuk dikunjungi warganegara itu termasuklah Larkin Sentral, Taman Pelangi, Taman Molek, Stulang Laut, Jalan Wong Ah Fook dan lebuh raya Pasir Gudang. – UTUSAN










