Pasangan kekasih didenda curi kabel telekomunikasi

Pasangan kekasih didenda curi kabel telekomunikasi

TIGA individu dibawa ke mahkamah bagi didakwa atas pertuduhan mencuri kabel milik syarikat TM, antara April hingga 19 Jun lalu. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Tiga individu termasuk pasangan kekasih didenda antara RM4,000 hingga RM14,000 oleh Mahkamah di Kuala Pilah selepas mengaku bersalah mencuri kabel milik syarikat Telekom Malaysia Bhd. (TM) antara bulan April hingga 19 Jun lalu.

Dalam prosiding di Majistret Saiful Sayoti, tertuduh Haziq Rosyazwan Jaffry Ros, 25, dan Hasfawati Hashim, 37, didakwa bersama-sama mencuri kabel milik syarikat telekomunikasi itu dengan cara memotongnya menggunakan pemotong.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Pasir Ambor, Kampung Talan, di sini, kira-kira pukul 6.30 pagi pada 19 Jun lalu. Haziq Rosyazwan  turut berdepan satu lagi pertuduhan melakukan kesalahan sama di Kampung Ulu Melang, antara pukul 12.30 tengah hari pada 6 Jun lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Haziq didenda RM8,500 manakala Hasfawati didenda RM4,000. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pula, Hakim, Norma Ismail menjatuhkan hukuman denda keseluruhan RM14,000 terhadap seorang lagi tertuduh, Mohd. Iqbal Izzudin Hasnan selepas dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan mencuri kabel.

Mengikut kertas pertuduhan, dia pada tarikh dan masa berasingan iaitu pada 5 April, 7 April, 10 Mei dan 17 Mei lalu mencuri kabel telekom milik TM dengan cara memotong kabel berkenaan menggunakan pemotong besi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan Kampung Jerjak, Padang Lebar; di tepi jalan Ulu Bendul, Terachi; di kawasan Jalan Kuala Pilah-Temeris Dangi dan di tepi jalan Kepis Malan Dangi. 

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya