JOHOR BAHRU: Kepemimpinan Pas yang mahu melengah-lengahkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana mereka tahu parti itu akan mengalami kekalahan besar khususnya menentang Barisan Nasional (BN).
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Pas tahu mereka kini tiada sebarang kekuatan, imej terjejas teruk, reputasi merudum dan prestasi pemimpin yang ada dalam kerajaan hancur.
Menurut beliau, perkara itu disedari kepimpinan Pas sendiri bahawa rakyat sudah muak dengan lakonan dan pekung mereka sudah terlondeh yang disebabkan itu mereka mahu lengahkan PRU15 untuk perbaiki kelemahan sedia ada.
“Jadi untuk tutup semua pekung busuk di dada mereka, Pas tuding jari kepada UMNO dan BN sebagai tamak kuasa. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sendiri sedar kepemimpinan dan kedudukan dirinya serta Pas semakin tergugat di Kedah.
“Sudah lama kemarahan rakyat negeri itu meletus kerana Sanusi dan pasukannya gagal membangunkan Kedah. Rakyat Kedah sudah nampak Menteri Besar mereka lebih banyak berpolitik dan bersembang daripada buat kerja serta bawa pembangunan di negeri itu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Nur Jazlan, Muhammad Sanusi juga lupa beliau juga ‘kluster mahkamah’ apabila menuduh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai golongan yang mahu PRU15 segera kerana takut penjara.
“Padahal Sanusi lupa dia juga sekarang ini adalah geng kluster mahkamah kerana sedang berdepan tuduhan jenayah fitnah yang difailkan oleh bekas Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil.
“Mungkin dia nak lambatkan PRU15 kerana takut kalah dalam kes itu dan hilang kelayakan jadi calon. Jadi Sanusi jangan beriya sangat panggil orang kluster mahkamah kalau diri sendiri serupa saja. Bak kata pepatah, tepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri,” jelasnya.
Nur Jazlan turut mempersoalkan dakwaan Muhammad Sanusi bahawa Pas boleh menewaskan BN dan Pakatan Harapan (PH) jika mereka terus bersama Perikatan Nasional (PN) kerana PN sudah tewas dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
“Mungkin dia lupa atau memang dah nyanyuk, sudah dua kali Pas bersama PN tewas dan bungkus terus dalam dua PRN iaitu di Melaka dan Johor. Sanusi juga yang jadi Pengarah Pilihanraya Pas bagi kedua-dua PRN itu. Jadi dia memang sudah ada dua cop kalah di dahinya tapi masih nak sembang kencang.
“Dua kali Sanusi jadi panglima perang PRN, dua kali dia gagal tapi Pas masih lagi tak gantikan dia, memang betul cara Pas. Mereka pilih pemimpin bukan berdasarkan prestasi tapi walak kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, kerana itu dia boleh kekal dalam barisan kepemimpinan Pas.
“Jadi tak hairanlah kenapa Pas selalu kalah dalam pilihan raya sebab mereka guna pemimpin yang pasti gagal. Kepemimpinan Pas juga sudah lama khayal kerana mereka hidup dalam dunia khayalan rekaan sendiri,” katanya.
Nur Jazlan berkata, semua yang berlaku berpunca daripada sikap Pas yang suka mengamalkan poligami politik dan sering dilayan seperti seorang ‘raja’ oleh pasangan parti mereka hingga asyik dibuai khayalan indah yang menguntungkan pemimpin-pemimpinnya.
Jelas beliau, semua tuduhan dan dakwaan yang dibuat Pas terutamanya oleh presiden mereka dan Menteri Besar Kedah hanyalah untuk menutup ketakutan pada bayang-bayang sendiri. –UTUSAN










