fbpx

26 Jun 2022, 10:31 pm

  TERKINI

Pajak kebun durian, pendapatan RM120,000

NORDI Ahmad menunjukkan buah durian yang sedia untuk dipasarkan di rumahnya di Kampung Parit Gantong, Sanglang, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang penternak lembu menggunakan peluang dan masa yang ada untuk memasarkan buah durian dari kebun yang dipajak dan mampu meraih pendapatan kira-kira RM120,000 semusim.

Menurut Nordi Ahmad, 51, lokasi kebun durian yang dipajak seluas dua ekar di Parit Sulong, semua dipenuhi tanaman durian manakala di Ayer Baloi, kebun sawit di tanam 40 pokok durian.

Katanya, pemasaran durian turut dilakukan menerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ayer Baloi selain dia menjual kepada pembeli sehingga ke Kota Tinggi, Johor Bahru dan sebagainya.

Tambah Nordi, kadar pajakan bagi semusim bergantung kepada buah durian seperti pada tahun lepas sebanyak RM12,000 bagi 5,000 biji dan tahun ini, RM18,000.

“Dua varieti durian yang dipasarkan ialah durian kahwin jenis Kasap Merah dan D88 pada harga antara RM8 hingga RM15 sekilogram,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Parit Gantong, Sanglang di sini.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu, disebabkan terdapat sekatan pergerakan, dia menyerahkan pemasaran buah-buah durian kepada PPK Ayer Baloi sepenuhnya.

“Alhamdulillah dengan kebenaran merentas daerah dan ne­geri, saya turut memasarkan juga buah-buah durian, manakala sebahagiannya pula kepada PPK Ayer Baloi,” katanya yang kini menternak sebanyak 70 ekor lembu.

Jelas Nordi, aktiviti memajak kebun durian telah dilakukan sebelum dia mendirikan rumah tangga dengan sedikit keuntu­ngan digunakan sebagai modal menternak lembu.

Bagi setiap kebun durian yang dipajak, pada tahun ini mempunyai 6,000 dan 8,000 biji yang mampu bertahan selama sebulan masa tuaiannya.

“Setiap kali turun ke lapa­ngan, saya dan isteri akan membawa sebanyak 200 hingga 300 kilogram durian yang dijual kepada pembeli sehingga habis,” katanya.

Bagi mengelakkan pergantungan terhadap kebun yang dipajak setiap tahun, dia turut menanam pokok durian kahwin dan kampung yang kini berusia tiga tahun di kampungnya. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI