Orang ramai perlu turut serta melestarikan alam - Tengku Hassanal 

Orang ramai perlu turut serta lestarikan alam sekitar – Tengku Hassanal 

TENGKU HASSANAL IBRAHIM ALAM SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh warga Malaysia untuk turut serta melestarikan alam sekitar sempena ulang tahun ke-50 Hari Alam Sekitar Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disambut hari ini. 

Baginda juga menyeru agar seluruh agensi awam dan swasta di negara ini untuk menjadi peseta aktif dalam rundingan iklim dan biodiversiti peringkat PBB serta menyokong inisiatif utama seperti cadangan untuk melindungi dan memelihara sekurang-kurangnya 30 peratus daratan dan lautan menjelang 2030. 

“Walaupun kesedaran dan keprihatinan alam sekitar semakin meningkat di seluruh dunia sejak lima dekad lalu, namun pelbagai kegiatan manusia telah memusnahkan ‘jaringan kehidupan’ yang kita perlukan untuk bekalan makanan, air, udara bersih dan seumpamanya. 

“Kita perlu menterjemahkan aspirasi menjadi realiti,” titah Baginda dalam satu kenyataan hari ini. 

Dalam pada itu, berhubung kemusnahan Tasik Chini dibangkitkan yang dibangkitkan tahun lalu, Tengku Hassanal yang turun padang melawat menitahkan agar Hutan Simpan Chini diperluas untuk meningkatkan perlindungan kepada tumbuhan dan haiwan serta memastikan kehidupan Orang Asli di sekitar tasik tidak terus terancam.

“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur telah pun selesai mewartakan tambahan kawasan Hutan Simpan Chini tersebut pada 5 Ogos 2021, daripada dahulunya 4,600 hektar kepada kini 6,502.8 hektar. 

“Perluasan Hutan Simpan Chini secara langsung dapat melindungi flora dan fauna di Tasik Chini serta kawasan di sekitarnya. 

“Tasik Chini ialah permata alam di Pahang dan merupakan tapak Rizab Biosfera UNESCO (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation) yang pertama di Malaysia. Keunikannya yang bernilai tinggi dan bertaraf dunia perlu dipelihara dan dipulihara,” titah Baginda. 

Sementara itu, dua acara utama berkaitan dengan alam sekitar akan berlangsung pada tahun ini dengan mesyuarat tahunan ke-27 Conference of Parties on Climate Change (COP27) di Mesir dan mesyuarat dua tahun sekali UN Biodiversity Treaty (COP15) di China

Sehubungan itu, Baginda bertitah, Malaysia mesti melibatkan diri secara aktif dengan menyertai dialog antarabangsa sebagai negara anggota, 

Titah Baginda, negara perlu menyokong kebanyakan komitmen yang dipersetujui dengan bangganya, tetapi perlu juga bersifat realistik. 

“Sebagai contoh, Malaysia perlu mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050. Aspirasi ini penting dan terpuji, namun pada masa yang sama, kita perlu menyedari bahawa langkah memansuhkan subsidi bahan api fosil akan memberikan impak besar kepada warga Malaysia. 

“Pengurangan penggunaan tenaga sedikit sebanyak akan melumpuhkan dan menjejaskan ekonomi negara. Maka, kita perlu mendidik masyarakat tentang penjimatan tenaga dengan pelbagai cara seperti mengurangkan penggunaan pendingin hawa atau menggunakan tenaga dengan lebih efisien,” titah Baginda. 

Tengku Hassanal juga bersyukur kerana kebanyakan negara termasuklah Malaysia sedang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membangunkan pelan bagi mengurangkan kemusnahan biodiversiti. 

“Ketika ini, lebih satu juta spesies haiwan dan tumbuhan sedang mengalami ancaman kepupusan. Sehubungan dengan itu, satu pelan yang berwawasan besar, iaitu Global Biodiversity Framework Pasca 2020 sedang dirunding dalam Convention on Biological Diversity untuk diluluskan pada COP15.

“Teras pelan tersebut ialah cadangan berasaskan kajian sains bagi memperuntukkan 30 peratus keluasan tanah dan perairan dunia sebagai kawasan perlindungan dan pemuliharaan.

“Malaysia perlu turut serta bagi menjayakan sasaran unggul ini seterusnya menyerlahkan kebersamaan dengan seluruh warga dunia menangani isu ini, apatah lagi negara kita adalah salah sebuah daripada 17 buah negara megadiversiti di dunia yang diiktiraf kerana kaya dengan kepelbagaian spesies flora dan fauna,” titah Baginda. 

Ekoran itu, Tengku Hassanal bertitah agar negara perlu berusaha untuk memastikan kawasan daratan dan perairan yang boleh diwartakan bagi tujuan perlindungan dan pemuliharaan untuk mencapai sasaran global penting tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN