fbpx

OP Patuh tamat 25 Jun, rekod 5.5 juta pemeriksaan

HAMZAH Zainudin bersalaman dengan ketua-ketua di bawah agensi KDN selepas menyampaikan sijil apresiasi JKPS di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA: Sebanyak 5,551,094 pemeriksaan direkodkan sepanjang OP Patuh yang dikendalikan Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 (JKPS) sejak setahun lalu. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sepanjang tempoh OP Patuh itu, sebanyak 13,143 kompaun telah dikeluarkan hasil pemeriksaan. 

Beliau berkata, daripada jumlah 13,143 kompaun itu, sejumlah 6,383 premis diarahkan tutup. 

“Pada 25 Jun lalu, genap setahun JKPS ditubuhkan bagi menggerakkan OP Patuh untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

“Kerajaan memutuskan untuk menamatkan pelantikan Pegawai Yang Diberikan Kuasa menerusi JKPS di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 berkuatkuasa 30 Jun ini.

“Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tujuan prosedur operasi standard (SOP) dan Protokol Peralihan Endemik,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 (JKPS) di sini, hari ini. 

Katanya, kerjasama dengan KKM itu akan menggunakan kuasa perundangan sedia ada di bawah Akta Polis 1967 dengan pendekatan diberikan lebih kepada advokasi kepada rakyat berkaitan fasa peralihan endemik ini. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!