ambil tindakan

OIC, PBB digesa ambil tindakan undang-undang terhadap jurucakap BJP

NAJMUDEEN KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang dan Persatuan-persatuan Muslim Pulau Pinang menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  mendesak kerajaan India mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-dua jurucakap Parti Bharatiya Janata (BJP) yang menghina Nabi Muhammad SAW dan Islam.

Presiden Liga Muslim, Datuk Najmudeen Kader berkata, kedua-dua jurucakap berkenaan iaitu Nupur Sharma telah membuat kenyataan menghina dalam debat televisyen manakala Naveen Jindal pula mengeluarkan komen di dalam media sosial. 

”Kenyataan tersebut adalah sesuatu tidak dapat diterima dan telah menyentuh sensitiviti umat Islam di seluruh dunia. 

”Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang dan Persatuan-persatuan Muslim Pulau Pinang mengecam sekeras-kerasnya kenyataan anti-Islam Nupur Sharma dan Naveen Jindal yang menghina Nabi Muhammad SAW dan meminta OIC mengambil tindakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Parti Bharatiya Janata (BJP) yang mentadbir India kembali mencetuskan kontroversi selepas dua jurucakap parti mengeluarkan kenyataan berbentuk penghinaan.  

Jurucakap Kebangsaan BJP, Nupur Sharma digantung daripada keahlian utama selepas komentar yang dibuat semasa debat di televisyen, baru-baru ini. 

Ketua Operasi Media Delhi BJP, Naveen Kumar Jindal pula dibuang kerja akibat polemik tersebut. 

Sharma dilaporkan menghina junjungan besar baginda dan isteri Rasulullah SAW, Saidatina Aisyah menerusi debat minggu lalu. 

Menurut Najmudeen, kenyataan dan tindakan ahli politik negara India yang sering membuat provokasi kepada umat Islam harus diberikan hukuman yang lebih berat selain daripada permohonan maaf. 

”Negara OIC ada ikatan dengan India  bukan sahaja dari sejarah dan budaya, malah juga perdagangan dan perniagaan.

”India bergantung kepada negara OIC untuk bekalan minyak, pekerjaan dan mata wang asing yang mencatat AS$80 bilion (RM344 bilion) setahun pada 2018,” katanya.

Tambahnya, OIC dan PBB mesti menggunakan prosedur Khas Majlis Hak Kemanusian dan undang-undang antarabangsa bagi mengawal keselamatan, hak kemanusian, agama, kebudayaan dan tempat ibadat orang Islam yang semakin dilihat merosot di India.

”Kami amat menyokong tindakan Wisma Putra yang meminta Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia dan BJP selaku parti pemerintah agar menjamin hak semua agama kerana bagi orang Islam mempertahankan Rasulullah SAW adalah hak dan kewajipan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN