Nursyazwana hanya mampu terlantar sejak lahir - Utusan Malaysia

Nursyazwana hanya mampu terlantar sejak lahir

WAN Nora Wan Nawi memangku Nursyazwana Mohd. Azri di Kampung Tok Bintang, Hulu Terengganu. – UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang remaja, Nursyazwana Mohd. Azri, 13, dari Kampung Tok Bintang di sini yang menghidap hydrocephalus atau lebihan cecair di bahagian otak hanya mampu terlantar sejak dilahirkan.

Penyakit yang dihidapi Nursyazwana itu mengakibatkan kepalanya membesar sekali gus membantutkan tumbesaran.

Menurut ibunya, Wan Nora Wan Nawi, 42, keadaan anak bongsu daripada dua beradik itu tidak ubah seperti anak kecil yang sentiasa perlu pakai lampin pakai buang serta bergantung kepada susu khas.

“Kesihatan saya kerap terganggu sewaku mengandung dan sewaktu usia kandungan cecah tujuh bulan doktor maklumkan ada benjolan atas kepala bayi. Kemungkinan besar juga anak bakal dilahirkan tidak sempurna.

“Saya reda, bersedia dengan sebarang kemungkinan. Anak syurga saya ini dilahirkan secara pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu seberat 2.2 kilogram dan dia terus berada di sana selama tiga bulan.

“Sepanjang tempoh itu juga saya ulang alik ke Hospital Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Anak saya ini menjalani pembedahan pertama bagi membuang cecair seperti nanah dalam kepala ketika saya masih dalam tempoh berpantang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambah Wan Nora, berat anaknya kini sekitar 30 kilogram dan dia tidak dapat bayangkan tentang nasib Nursyazwana nanti sekiranya ditakdirkan dia dijemput Ilahi terlebih dahulu.

Jelasnya, pendapatan suami, Mohd. Azri Yusof, 44, yang bekerja kampung pula tidak menentu dan kos bagi membeli susu khas, lampin pakai buang serta makanan untuk keperluan anak istimewanya itu melebihi RM600 sebulan.

“Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat seba­nyak RM300 untuk Nursyazwana dan RM500 kepada penjaga ringankan beban.

“Sementara itu, anak sulung saya, Nur Maisarah, 17, masih lagi bersekolah,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin hulurkan sumbangan boleh hubunginya di talian 013-9197322 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 1150041000189487 atas nama Wan Nora Wan Nawi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN