Nur Jazlan pelawa pahlawan UMNO, BN tanding Parlimen Pulai

Nur Jazlan pelawa pahlawan UMNO, BN tanding Parlimen Pulai

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed sekali lagi menegaskan beliau tidak berhasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Justeru, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor mempelawa para pemimpin UMNO termasuk Barisan Nasional (BN) untuk menawarkan diri bertanding di kerusi Parlimen Pulai.

Tegasnya,  keputusan untuk tidak bertanding semula dibuat selepas melakukan perkiraan dan menyedari peluang untuk BN menang di kerusi berkenaan amat tipis.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya seorang akauntan dan kerusi Parlimen Pulai mempunyai maginal, iaitu pecahan peratusan undi Melayu dan Cina cukup tipis perbezaan. Dengan pola dan peratusan pengundi cukup rendah dan tiada perubahan sokongan pengundi Cina kepada calon Melayu dan BN, saya tahu saya akan kalah kalau bertanding juga.

“Jawapan saya mudah. Analisis saya cukup jelas. Keputusan dan statistik pengundian pada PRN Johor dua bulan lepas sudah cukup memberikan penanda pada PRU15 nanti.

“Kalau saya bertanding dan dapat 70 peratus undi Melayu tapi pengundi Cina pula langsung tak menyokong saya, saya tetap akan kalah. Sejarah PRU14 sudah cukup mengajar saya untuk kenal hati budi pengundi Cina. Jadi, cukup setakat itu sajalah. Biarlah orang lain atau Ahli Parlimen Pulai sekarang terus berkhidmat kepada rakyat Pulai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nur Jazlan terbuka untuk menjemput mana-mana pahlawan UMNO atau BN yang sekarang ini sedang berkhidmat dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Jemput

“Saya jemput sesiapa sahaja yang merasakan mereka mempunyai peluang untuk memberikan kemenangan kepada BN di Parlimen ini, sama ada Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

“Sebab saya ada dengar, bila saya lantang bersuara mengkritik atau menegur pucuk pimpinan dalam PN, ada pemimpin dan individu dalam UMNO membidas dan melabelkan saya banyak cakap sedangkan saya dalam kumpulan kluster kalah PRU14.

“Kalau nak kata kekalahan besar saya di Pulai, apa bezanya saya dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Norden yang kalah besar di kerusi Pasir Gudang dan orang lama UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang kecundang di kerusi Johor Bahru, kenapa nama mereka juga turut tak disebut sebagai kluster kalah.

“Sekurang-kurangnya dalam serba kepayahan itu, kerusi Pulai ini tidak pernah kalah sejak lepas merdeka dan saya sendiri masih mampu mempertahankan kerusi ini untuk tiga penggal sebelum tunduk kepada tsunami politik pada PRU14,” katanya sambil mengakui kerusi yang majoritinya pengundi Melayu yang memang cukup kuat menyokong UMNO. 

Pemimpin tersebut boleh menyerahkan kerusi selamat itu kepada pemimpin muda dan cubalah beralih ke medan perang yang lebih hebat.

Bergegar-gegar

“Usah cakap bergegar-gegar dalam kedai kopi di Pekan Arau, Pasir Salak, Ketereh, Lipis atau Padang Terap sahaja, cubalah pula berceramah di kafe, restoran atau kopitiam di Perling, Permas atau Stulang, baru kamu tahu langit itu tinggi atau rendah.

“Sila datang bertanding di kerusi-kerusi bandar seperti Pulai, Johor Bahru dan Pasir Gudang, yang ratio pengundinya hampir setara dan rasai sendiri bagaimana peritnya untuk menarik undi terutamanya daripada orang Cina. Kalau hebat sangat cubalah pujuk pengundi Melayu bandar untuk keluar mengundi dan mereka pangkah BN seperti dulu.

“Sebenarnya antara salah satu faktor ramai pengundi terutamanya orang muda tolak berpunca daripada sifat para pahlawan tua dalam PN yang masih tak mahu turun takhta dan beri laluan kepada generasi baru untuk memimpin. Mereka sudah muak menghadap muka sama sejak lebih dua dekad,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×