KANGAR: Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mencadangkan Festival Bon Odori di Malaysia diberi nama baharu atau nama tambahan bagi mengelak kekeliruan kepada umat Islam.
Katanya, langkah tersebut bagi mengelak sebarang kekeliruan kepada umat Islam mengenai asal usul acara tersebut yang mengandungi unsur syirik dan khurafat.
“Jika boleh, diberikan nama baru atau nama tambahan di samping nama Bon Odori bagi mengelakkan kekeliruan dengan perayaan asal yang mempunyai unsur syirik dan khurafat.
“Ini seperti menamakan festival kebudayaan Jepun, atau masyarakat Jepun. Dengan itu, festival dapat diteruskan dan polemik dapat dikurangkan,” katanya dalam status Facebooknya di sini hari ini.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, pihak berkuasa agama mesti sepakat dan menyatakan pendirian jelas terhadap sesuatu isu termasuk pesta kebudayaan Jepun, Bon Odori bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor dilaporkan berkata, kesepakatan antara mufti dan jabatan agama adalah penting kerana mereka adalah panduan umat Islam dalam sebarang isu keagamaan.
Sementara itu, Mohd. Asri menyarankan penganjur agar memastikan tiada unsur keagamaan pada majlis itu.
“Penganjur perlu memastikan isi sambutan festival itu tidak bersifat agama, tidak dimasukkan unsur khurafat atau syirik tertentu dan tiada ritual yang mewakili kepercayaan tertentu,” katanya. – UTUSAN