MR D.I.Y, MACO bantu pelajar, baik pulih 110 set komputer - Utusan Malaysia

MR D.I.Y, MACO bantu pelajar, baik pulih 110 set komputer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan MR D.I.Y. (M) Berhad (MR D.I.Y) komited memberi sokongan kepada Program Pemerkasaan Komputer bagi membantu para pelajar yang terkesan mendapat akses komputer untuk pembelajaran harian mereka.

Inisiatif tersebut adalah kerjasama MR D.I.Y dengan  Medical Awareness Camp Outreach (MACO), iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dibentuk oleh sepasukan doktor pakar dan sukarelawan bukan perubatan untuk menyediakan perkhidmatan perubatan secara percuma, makanan, bantuan makanan dan komputer yang telah dibaik pulih kepada golongan memerlukan.

Melalui Program Pemerkasaan Komputer, MACO membaik pulih set-set komputer untuk dilengkapkan ke makmal-makmal komputer di sekolah. 

Sehingga April 2022, lebih 2,000 set komputer telah dibaik pulih oleh organisasi tersebut.

Pasukan IT dari MR D.I.Y. telah menghulurkan sokongan secara sukarela buat program tersebut dengan membaik pulih 110 set komputer yang terdiri daripada Unit Pemprosesan Pusat (CPU), monitor, papan kekunci dan pelbagai aksesori lain agar boleh digunakan di makmal komputer sekolah-sekolah di seluruh semenanjung.

Kesemua komputer yang dibaik pulih itu diperoleh dari ibu pejabat MR D.I.Y. di Seri Kembangan serta cawangan-cawangannya di seluruh negara.

Pengerusi Kumpulan MR D.I.Y., Datuk Azlam Shah Alias berkata, pihaknya sedar bahawa pelajar adalah antara kumpulan yang paling terkesan semasa pandemik.

“Kami mendapati apabila mereka kembali ke sekolah, banyak sekolah yang memerlukan bantuan bagi memastikan para pelajar mempunyai kemudahan yang diperlukan untuk pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

“Dengan lebih 900 cawangan di seluruh negara, pasukan IT kami amat mahir dalam mengendalikan komputer dan telah menawarkan khidmat secara sukarela untuk memperoleh dan membaik pulih kesemua komputer ini bagi menyokong inisiatif tersebut.

“Kami berharap agar sumbangan ini akan membantu para pelajar meneruskan pembelajaran tanpa sebarang masalah,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, inisiatif yang murni dan amat berguna ini pastinya akan membantu sekolah-sekolah menyediakan pangkalan digital yang efektif supaya para pelajar dapat mengikuti pembelajaran dengan baik.

Pada Disember 2021, MR D.I.Y. telah disenaraikan dalam FTSE4Good Index 2021 yang diiktiraf di peringkat global. 

Pencapaian ini membuktikan usaha peruncit tersebut untuk terus menghasilkan impak yang positif buat komuniti-komuniti di mana ia beroperasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN