SUNGAI SIPUT: MIC memohon diberi ruang untuk memberi pandangan ke atas calon-calon yang bakal bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) daripada parti komponen lain pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran berkata, pandangan itu bagi memastikan individu yang dicalonkan adalah sesuai sekali gus memberi kemenangan kepada parti.
Katanya, hasrat itu akan disuarakan beliau kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 21 Jun ini.
“Kali ini kita mahu tahu calon-calon parti komponen lain dalam BN. Sebelum ini, kita hanya serahkan senarai calon dan ia diperhalusi kepimpinan BN, sekarang kita mahu beri pandangan kepada calon yang bakal bertanding di bawah logo BN.
“Sebelum ini, kita pernah mengalami kekalahan besar. Sebab itu, kita mahu pastikan calon yang dipertandingkan kali ini merupakan calon boleh menang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut beliau, meskipun pihaknya memohon dilibatkan dalam memberi pandangan, ia tidak bermakna terdapat masalah antara parti komponen dalam BN sebaliknya bertujuan memastikan kemenangan dalam PRU-15.
Katanya, sebarang keputusan akhir bagi meletakkan calon di semua kerusi yang ditandingi juga terletak di tangan pucuk pimpinan parti.
“Cadangan ini dibuat susulan masih ada lagi kawasan-kawasan yang tidak ada penyelaras parti. Jika ada penyelaras pun, ada yang daripada BN malah ada juga yang tidak berada dalam (kepimpinan) BN,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berlainan beliau berkata, MIC bersedia menghadapi pilihan raya umum pada bila-bila masa dan menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk memutuskan tarikh sebenar.
“Bagi MIC sendiri, kita yakin akar umbi akan kembali memberi sokongan kepada BN selepas kepimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak membawa sebarang perubahan. Bagi Parlimen Sungai Siput sendiri, kita yakin mampu menang di sini,” katanya. – UTUSAN