Mayat dua pelajar berpelukan ditemui terapung di sungai - Utusan Malaysia

Mayat dua pelajar berpelukan ditemui terapung di sungai

Polis mengusung mayat dua pelajar sekolah pondok yang ditemui mati lemas di Sungai Gong Dermin, Kubang Kerian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dua pelajar sekolah pondok Terusan Limbat, Pasir Tumboh di sini  ditemui terapung dalam keadaan berpelukan di Sungai Gong Dermin, Kubang Kerian di sini hari ini   selepas 15 jam hilang.

Mayat, Luqman Hakim Azman, 16, dan rakannya, Muhammad Zul Hafiz Azman, 18, ditemui kira-kira 20 meter dari lokasi mereka mandi bersama sembilan rakan lain pada pukul 8.40 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemui oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Menurut beliau, Luqman Hakim dari Ketereh manakala Muhammad Zul Hafiz dari Kemumin, Pengkalan Chepa di sini dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk dibedah siasat.

“Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7.19 malam semalam. Sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati ada dua pelajar pondok Terusan Limbat lemas di sungai berkenaan.

“Kedua-dua mangsa dikatakan keluar tanpa kebenaran pihak pondok bersama sembilan lagi rakannya untuk mandi di sungai itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd. Rosdi berkata, berdasarkan maklumat, kesemua remaja itu dipercayai kali pertama mandi di Sungai Gong Dermin kerana kedua-dua mangsa baru mendaftar di pondok berkenaan akhir bulan lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN