Ketua Perisikan Turkiye bincang gencatan senjata Gaza dengan delegasi Hamas

Ketua Perisikan Turkiye bincang gencatan senjata Gaza dengan delegasi Hamas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Ketua Perisikan Turkiye, Ibrahim Kalin bertemu dengan delegasi kumpulan Hamas, di Istanbul bagi membincangkan perjanjian gencatan senjata di Gaza.

Delegasi itu diketuai oleh anggota Biro Politik Hamas dan ketua pasukan rundingan, Khalil al-Hayya.

Dalam pertemuan tersebut, delegasi Hamas menegaskan mereka mematuhi terma-terma gencatan senjata dan turut memberikan maklumat mengenai pelanggaran yang dilakukan oleh Israel.

Perbincangan turut menumpukan usaha intensif Turkiye sebagai negara penjamin untuk memastikan pelaksanaan gencatan senjata di Gaza serta langkah-langkah bagi mencegah pelanggaran oleh Israel.

Kedua-dua pihak membincangkan syarat yang diperlukan bagi melangkah ke fasa kedua Pelan Keamanan Gaza serta cara menangani cabaran yang wujud.

Pertemuan itu turut merangkumi taklimat mengenai bantuan kemanusiaan Turkiye ke Gaza serta perbincangan mengenai usaha berterusan dengan negara serantau dan organisasi antarabangsa untuk memastikan lebih banyak bantuan, khususnya khemah, dapat disalurkan.

Kedua-dua delegasi menegaskan komitmen mereka terhadap perpaduan nasional Palestin serta matlamat untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Israel berulang kali melanggar perjanjian gencatan senjata yang ditandatangani pada 10 Oktober lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan, sekurang-kurangnya 395 rakyat Palestin terbunuh manakala 1,088 lagi cedera akibat serangan Israel sejak gencatan senjata dikuatkuasakan.

Perang selama dua tahun mengorbankan hampir 70,700 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,000 individu.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×