PETALING JAYA: Seramai 10 individu diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung penemuan dua mayat di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard di ruang parkir sebuah kondominium di Cheras, dekat sini pada 29 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, individu yang dipanggil adalah dalam kalangan keluarga dan rakan mereka.
Katanya, hasil siasatan setakat ini mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Bagaimanapun, polis sehingga kini masih menunggu laporan bedah siasat berkaitan punca kematian dua individu terbabit.
“Bedah siasat dilaksanakan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM). Pakar perubatan menghantar sampel ke Jabatan Kimia untuk dianalisis selanjutnya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Cheras di sini.
Tambahnya, mayat kedua-dua remaja terbabit sudah selesai dibedah siasat dan keluarga sudah menuntut jenazah untuk dikebumikan.
Penemuan dua sahabat berusia 19 tahun itu merungkai misteri kehilangan mereka sejak 25 Mei lalu apabila ditemukan maut dalam MPV Toyota Alphard di parkir bawah tanah di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada 1 Jun lalu.
Mohammad Idzam dilaporkan berkata, ini susulan maklumat daripada orang awam diterima polis pada pukul 8.26 malam.
Katanya, hasil siasatan di lokasi mendapati mayat seorang wanita tempatan di bahagian penumpang hadapan manakala mayat seorang lelaki tempatan di tempat duduk belakang.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Kereta itu dipercayai dipandu oleh salah seorang remaja terbabit. memaparkan MPV itu masuk ke lokasi, namun tiada pergerakan keluar melibatkan kedua-dua mangsa,” katanya.
Sebelum ini, polis menerima laporan kehilangan kedua-dua remaja itu yang dibuat oleh ibu bapa masing-masing di Kuala Selangor, Selangor pada 25 Mei lalu. – UTUSAN










