Malaysia tawar ICRC bantu misi kemanusiaan di Myanmar

Malaysia tawar ICRC bantu misi kemanusiaan di Myanmar

SAIFUDDIN Abdullah (dua dari kiri), Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah (dua dari kanan) melancarkan sambutan jubli emas ulang tahun ke-50 Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) Malaysia di Hotel Zenith Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia bersedia menawarkan peluang kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) terlibat bersama dalam misi bantuan kemanusiaan sejagat di Myanmar.

Tawaran tersebut diulangi sekali lagi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-50 ICRC Malaysia di Hotel Zenith Putrajaya, hari ini.

“Saya ada sentuh penglibatan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) asing ketika taklimat Utusan Khas Pengerusi ASEAN, Prak Sokhom bersama menteri luar serantau baru-baru ini.

“Kami sebelum itu dimaklumkan oleh Kemboja selaku Pengerusi Semasa ASEAN 2022 ada bertemu pihak junta Myanmar pada 6 Mei lalu yang menubuhkan jawatankuasa petugas khas.

“Justeru, saya minta ICRC Malaysia akan juga terlibat kerana mereka ada kepakaran dalam bidang sebegini tetapi tiada pula akses bagi memasuki kawasan konflik di Myanmar,” katanya.

ICRC Malaysia ditubuhkan pada 1972 selepas bertapak di negara ini seawal dekad 1940-an dan aktif dalam pelbagai misi termasuk isu pelarian Vietnam dan terbaharu, wabak Covid-19.

Organisasi global diasaskan pada 1863 itu ialah ahli Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) berpusat di Geneva, Switzerland dan dianggotai 192 negara..

Turut hadir ialah Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim dan Pengarah ICRC Rantau Asia Pasifik, Christine Cipolla.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, di Myanmar kebetulan ada NGO dari negara ini dikenali Mercy Malaysia yang selama ini aktif misi kemanusiaan bagi etnik Rohingya di wilayah Rakhine.

“Sehubungan itu, Malaysia sudah ada akses di sana tetapi saya cadang ICRC Malaysia juga dapat ambil peluang terbaik ini agar tampak lebih telus dan diterima junta negara itu,” katanya.

Tambahan pula ujar beliau, Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan dan Pengurusan Bencana ASEAN (AHA) yang telah diwujudkan pada 2011 lalu dilihat agak kurang berpengalaman.

Badan koordinasi serantau itu jelasnya, mungkin hanya mahir dalam isu malapetaka alam sekitar seperti banjir dan gempa bumi dahsyat tetapi tidak kawasan konflik perang yang berdarah.

Perkara itu katanya memang menjadi kekangan AHA dan beliau akan membawa isu tersebut ketika menghadiri sesi forum tahunan berprestij, Dialog Shangrila di Singapura pada Ahad ini.

Program berkenaan selain mengundang khas beliau untuk berkongsi kepakaran Malaysia, turut mempelawa Utusan Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, Noeleen Heyzer.

“Saya akan guna platform ini untuk bawa pendirian suara Malaysia dalam isu Myanmar selain cuba merealisasikan konsensus lima perkara ASEAN mengenai negara itu,” kata Saifuddin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN