Malaysia perlu kembali jadi negara pertanian

Malaysia perlu kembali jadi negara pertanian

MUHYIDDIN Yassin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia perlu kembali sebagai sebuah negara pertanian bagi mengatasi krisis bekalan makanan yang dihadapi negara ketika ini. 

Itu syor dibuat Majlis Pemulihan Negara (MPN) kepada kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan bekalan import makanan dengan negara asing. 

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika ini, Malaysia mengimport 100 peratus makanan ternakan ayam dan akan berlaku masalah jika berlaku gangguan pada rantaian makanan global. 

“Antara penyelesaian yang dibincangkan ialah mampukah negara ini mengeluarkan bahan makanan ternakan sendiri dan tidak bergantung 100 peratus dari luar negara.

“Kita berpendapat wajar untuk kerajaan meneliti semula dasar import bahan ternakan dan tidak bergantung kepada negara luar semata-mata,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di sini, hari ini. 

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, Malaysia juga perlu lebih agresif untuk meneroka teknologi moden, bahan keperluan negara dan bahan yang diimport. 

“Sebagai contoh, kita masih mengimport sayur-sayuran dan kelapa. Seperti kelapa, kita import 500 juta biji sedangkan kita ada kawasan tanaman kelapa dan ia boleh dimajukan semula kerana permintaannya sentiasa meningkat,” katanya. 

Justeru, katanya, kerajaan perlu lebih agresif dan selari dengan dasar jaminan keselamatan makanan negara. 

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Malaysia berada pada kedudukan ke-39 dalam Global Food Security Index pada tahun 2021, naik sembilan anak tangga berbanding tahun sebelumnya. 

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) juga menjalankan tindakan intervensi berorientasikan pengguna, pengeluar dan perdagangan bagi mengukuhkan sekuriti bekalan makanan negara. 

“Antara intervensi jangka pendek diambil ialah mewujudkan stok bekalan ayam, semakan prosedur import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan semakan semula Tarif Elektrik Sektor Pertanian,” katanya. 

Katanya, pihaknya berpendapat terdapat keperluan mendesak memperkasakan industri input kepada makanan ternakan supaya negara mencapai tahap sara diri kos input makanan ternakan terurus dan tidak terjejas akibat faktor luaran.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN