KANGAR : Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerima kunjungan lawatan kerja dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini hari ini.
Lawatan kerja selama tiga hari itu diketuai oleh Timbalan Pengurus Bahagian Pembangunan Asnaf, Mohd Rafie Zakaria bersama seramai lapan pegawai dan 27 penerima bantuan perniagaan MAIWP.
Beberapa siri perkongsian dan lawatan kerja dilaksanakan termasuk perbincangan dua hala bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor serta lawatan ke beberapa lokasi produk usahawan asnaf bimbingan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).
Kemuncak program ialah para peserta berkempatan bersua muka dan menghadap Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di perkarangan Masjid Al Muqarrabin, Behor Empiang di sini.
Tambah istimewa, lima wakil daripada pihak rombongan MAIWP tidak melepaskan peluang mengiringi baginda dalam program kayuhan MAIPs Peduli menjejaki dan menyantuni asnaf. – UTUSAN










