SEREMBAN: Mana-mana individu yang berkeinginan untuk menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang boleh mendapatkan Penerbitan Statistik Subnasional Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan hasil dapatan Banci Malaysia 2020.
Dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Penerbitan Statistik Subnasional DUN tersebut merupakan penerbitan julung kali yang memaparkan statistik ekonomi dan sosial yang komprehensif mengikut 600 buah DUN di negara ini.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, segala angka dan maklumat yang ada disediakan tersebut akan sangat membantu kepada parti-parti politik malah kepada mereka yang berhasrat untuk menjadi calon ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Mereka boleh teliti beban tugas dan tanggungjawab mereka nanti, mereka boleh menggunakan angka-angka yang ada ini dan boleh mendapat tahu apa yang patut mereka lakukan nanti.
“Jika mereka mahu menghulurkan bantuan, mereka boleh tahu berapa ramai dalam kawasan itu yang memerlukan bantuan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 turut menjelaskan, sejak penerbitan berkenaan dilancarkan pada 29 Mei yang lalu, sudah ada beberapa pihak termasuk parti dan pemimpin politik telah mendapatkan maklumat tersebut.
“Kami juga sekarang ini dalam program jelajah untuk menerangkan angka-angka ini kepada pihak yang berkepentingan. Kami juga akan membuat pembentangan kepada DUN, ia akan dihadiri oleh ADUN-ADUN, pegawai dan wakil-wakil mereka.
“Penerbitan ini kami edarkan dan ada juga yang telah memohon untuk mendapatkannya. Orang ramai juga boleh mendapatkan salinan digital menerusi laman web kami. Boleh juga datang pejabat Jabatan Perangkaan dan kami akan berikan juga penerangan, ia tidak lengkap tetapi kami akan tambah baik setiap tahun.
“Kepada yang pernah menjadi wakil rakyat dan yang mahu terus menjadi wakil rakyat, penerbitan ini boleh dijadikan laporan untuk mereka, dan apabila kami kemaskini setiap tahun mereka boleh lihat perubahan yang berlaku,” katanya.
Antara statistik yang disediakan dalam penerbitan tersebut termasuklah maklumat asas penduduk, perumahan, guna tenaga, pendapatan isi rumah, pendidikan dan kemudahan asas.
Turut dimuatkan, statistik mengenai bilangan syarikat perniagaan mengikut sektor ekonomi yang beroperasi di setiap DUN seperti stesen minyak, tadika swasta, kedai dobi, klinik dan bengkel kereta. – UTUSAN